Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Hari Sarapan Pagi Sedunia telah diraikan di kediaman Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam bersama-sama beberapa orang menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan bahawa Hari Sarapan Pagi Sedunia tahunan telah ditetapkan oleh UNESCO pada Ahad pertama setiap Jun dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy menghoskan para jemputan di kediamannya bagi menikmati sajian sarapan pagi Turkiye untuk meraikan hari berkenaan.
Hidangan Turkiye berkenaan telah disediakan oleh cef kedutaan itu, Adem Can untuk memastikan pelbagai hidangan dengan aroma dan cita rasa untuk para jemputan ke majlis berkenaan.
Dalam kata alu-aluannya, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy menekankan signifikan sarapan pagi kepada budaya masyarakat Turkiye. Beliau menyatakan bahawa bagi warga Turkiye, keluarga berada di pusat masyarakat dan di tengah-tengah keluarga adalah meja sarapan pagi di mana mereka memulakan hari bersama-sama.
Sarapan pagi, jelasnya, merupa-kan masa di mana ahli keluarga berkumpul dan bertukar-tukar jadual seharian mereka serta untuk membuat perancangan bagi waktu malam.
Beliau berkata lagi, sarapan pagi Ahad adalah amat signifikan di mana ia menyaksikan kopi dan teh tradisional Turkiye disajikan serta menjadi masa bagi perkumpulan keluarga serta rakan-rakan.
Hari itu disambut dengan beberapa aktiviti yang bukan sahaja diadakan di Turkiye tetapi di 257 misi luar negaranya di seluruh dunia. Pusat bagi perayaan berkenaan adalah di wilayah timur Turkiye, Van yang dikenali sebagai ibu negara sarapan pagi dengan hidangan
sarapan pagi yang kaya, pelbagai dan banyak.
Turkiye memulakan Hari Sarapan Pagi Dunia pada 2020 dan mengisytiharkannya sebagai Ahad pertama setiap Jun.
Tukiye telah membuat permohonan kepada UNESCO, baru-baru ini, untuk mendaftarkan budaya sarapan pagi sebagai Warisan Budaya Dunia.