Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kedutaan Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam, kelmarin, telah menghoskan anggota Kor Diplomatik untuk sarapan pagi Turkiye yang terkenal di dunia bagi memperingati Hari Sarapan Sedunia.
Hadir sama pada acara yang diadakan di Kediaman Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan isteri.
Pada acara itu, para tetamu dihidangkan pelbagai masakan Turkiye yang disediakan oleh cef kedutaan berkenaan, Adem Can.
TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan utama sarapan dalam budaya Turkiye.
Bagi orang Turkiye, jelas beliau, pusat masyarakat ialah keluarga dan di tengah-tengah keluarga ialah meja sarapan di mana mereka memulakan hari bersama kerana ini penting dalam semua keluarga tanpa pengecualian di mana sarapan adalah masa apabila ahli keluarga bersatu dan bertukar jadual hari mereka dan membuat rancangan untuk
malam itu.
Beliau menambah bahawa sarapan pagi Ahad adalah sangat penting kerana ia diikuti dengan teh dan kopi Turkiye yang dibancuh secara tradisional dan sering bertukar menjadi pertemuan keluarga dan rakan-rakan yang mesra.
Hari Sarapan Sedunia ditetapkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan disambut setiap Ahad pertama Jun.
Untuk meraikan majlis itu, beberapa aktiviti diadakan bukan sahaja di seluruh Turkiye tetapi juga 257 misi asingnya di seluruh dunia. Pusat perayaan adalah wilayah Van di timur Turkiye, yang dikenali sebagai ibu kota sarapan dunia dengan hamparan meja sarapan yang besar, pelbagai dan mewah.
Turkiye memulakan Hari Sarapan Sedunia pada 2020 dan mengisytiharkannya sebagai Ahad pertama setiap Jun. Turkiye baru-baru ini memohon kepada UNESCO untuk mendaftarkan budaya sarapan yang dihargai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Dunia.
