Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Vietnam sambut majlis resepsi

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Hubungan dua hala antara Vietnam dan Negara Brunei Darussalam terus berkembang dengan signifikan dalam semua bidang.

    Pada 2024, perdagangan dua hala telah melebihi AS$670 juta iaitu melepasi sasaran AS$500 juta yang ditetapkan bagi 2025.

    Brunei pada masa ini, berada di kedudukan ke-20 pelabur terbesar di Vietnam dengan lebih banyak perniagaan Vietnam memasuki pasaran Brunei dalam bidang tenaga, perkhidmatan dan logistik, makanan halal serta perikanan.

    Kedua-dua ekonomi juga berpotensi untuk meningkatkan kerjasama bagi memanfaatkan enjin pertumbuhan baharu termasuk ekonomi digital, inovasi dan perkembangan sains dan teknologi.

    Perkembangan positif dalam hubungan kedua-dua buah negara berkenaan, diketengahkan oleh Duta Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu dalam ucapannya pada Majlis Resepsi Ulang Tahun Hari Kebangsaan Vietnam ke-80 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan TYT Tran Anh Vu bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat. – GAMBAR OLEH LYNA MOHD
    Upacara memotong kek sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Vietnam yang disempurnakan bersama oleh YB Dato Seri Setia Haji Nazmi dan TYT Tran Anh Vu berserta isteri masing-masing. – GAMBAR OLEH LYNA MOHD
    TYT Tran Anh Vu menyampaikan ucapannya pada majlis resepsi berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHD

    Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad serta isteri, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.

    Majlis itu turut dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kerajaan serta jemputan khas.

    Menyentuh mengenai kerjasama dalam pertahanan dan sekuriti, TYT Tran Anh Vu menyatakan ia telah dipertingkatkan dengan signifikan menerusi pelbagai program dan pertukaran dengan yang terkini merupakan lawatan diplomasi pertahanan, kapal Tentera Laut Diraja Brunei, KDB Darul Aman, ke Vietnam pada 27 hingga 30 Ogos.

    Beliau juga menyatakan amat menghargai pertukaran rakyat ke rakyat, kebudayaan dan pendidikan di antara kedua-dua buah negara di mana dua tahun kebelakangan ini, Kedutaan Vietnam telah menganjurkan sekitar 20 aktiviti untuk memperkenalkan kebudayaan Vietnam serta memupuk pertukaran budaya dua hala dengan sokongan padu daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan rakan-rakan kongsi daripada kedua-dua buah negara.

    Kerjasama pendidikan, ulasnya, juga telah diperkukuhkan khususnya menerusi pertukaran pensyarah dan pelajar dan program latihan bahasa termasuk program Bahasa Vietnam di Universiti Brunei Darussalam dan program latihan Bahasa Inggeris di Universiti FPT di Vietnam.

    Sementara itu, masyarakat Vietnam di Brunei menerusi perpaduan, kerja keras dan kreativiti mereka, juga secara aktif menyumbang kepada kerjasama dua hala dan pertukaran rakyat ke rakyat antara kedua-dua buah negara.

    Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Vietnam yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato dan Tuan Yang Terutama berserta isteri masing-masing.

    Majlis kemudian menyaksikan Tuan Yang Terutama dan isteri, Le Thi Hong Ngoan menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Dato isteri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda