SAO PAULO, 30 Jan – Pertempuran berlaku antara geng di penjara wilayah Ceara Brazil mengorbankan 10 nyawa semalam, menurut pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang negeri.
“Pertempuran bermula antara beberapa kumpulan banduan dan menyebabkan kematian,” menurut jurucakap setiausaha keadilan. Para pengawal telah mengawal semula kemudahan itu, katanya.
Pertempuran berdarah berlaku di Penjara Awam Itapaje, kira-kira 78 batu dari bandar Fortaleza.
Pada Sabtu lepas, kira-kira 14 orang ditembak di kelab malam di Fortaleza. Menurut laporan media tempatan, pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan oleh lelaki bersenjata yang tiba dengan tiga buah kereta dan ia berkaitan dengan pertikaian antara kumpulan pedagang dadah.
Pihak berkuasa tidak berkata kejadian ini berhubung dengan pertikaian tersebut dan insiden yang berlaku semalam.
Tahun lepas, rekod pembunuhan terkumpul sebanyak 5,114 di wilayah Ceara, meningkat 50 peratus dari 2016.
Penjara Brazil sangat padat, mempunyai 726,712 banduan setakat Jun 2016 dan hanya berkapasiti 368,000, menurut statistik rasmi baru-baru ini.
Negara tersebut salah sebuah negara paling banyak keganasan berlaku dalam dunia, hampir 60,000 pembunuhan berlaku setiap tahun.
Sebahagian besar keganasan terjadi kerana perebutan kawasan dadah dengan konflik bukan sahaja berlaku di jalan raya tetapi di penjara di mana raja dadah terus mengekalkan kekuasaannya.
Dalam salah satu episod paling berdarah apabila 56 orang terkorban di penjara yang terletak di bandar Manaus, Brazil setahun yang lalu. – AFP