KINSHASA, 23 Okt – Seorang lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk dua petugas kesihatan di timur Congo, di kawasan di mana militia menghalang usaha kerajaan untuk membendung wabak Ebola.
Penularan wabak yang terkini itu menyebabkan 152 orang maut, kebanyakannya di wilayah Utara Kivu dan Ituri, yang menjadi pusat pemberontakan bersenjata dan pembunuhan etnik sejak dua perang saudara pada akhir 1990an.
Jumlah kes meningkat dengan pantas sejak dua minggu lalu dan jawatankuasa pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu mengatakan, wabak mungkin akan bertambah buruk.
Menteri Kesihatan Oly Ilunga berkata insiden tembakan itu amat menyedihkan, petugas, kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran kumpulan bersenjata. Bagaimanapun, penyerang belum dapat dikenal pasti.
Ketegangan tercetus kerana penduduk tempatan tidak percaya dengan usaha mengekang penularan wabak oleh petugas kesihatan.
Petugas kesihatan juga berdepan gangguan oleh kumpulan pemberontak yang mengganggu kerja-kerja rawatan, proses pengebumian pesakit maut akibat Ebola dan program vaksinasi. – Bernama-NNN-Agensi