Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kegembiraan ibu bekerja di rumah

    KUALA LUMPUR – Wanita berpendidikan tinggi, berjawatan besar, merantau ke pelosok dunia atas nama kerja dan pada masa yang sama berusaha membina sebuah keluarga bukan lagi satu fenomena asing.

    Ia sudah menjadi sesuatu yang sangat biasa dalam kehidupan kekeluargaan di Malaysia sehinggakan wanita yang berpendidikan memang diharap dan dijangka untuk memiliki kerjaya.

    Namun fitrahnya wanita yang juga seorang ibu tidak boleh dinafikan atau digantikan dengan kejayaan dan pencapaian kerjaya yang dibawa pulang kerana nalurinya ibu adalah untuk mengulit anak, terutamanya apabila anak itu masih kecil. Itulah yang mungkin dirasai oleh Puteri Rahayu Megat Mohamed Yusof, 39, dan Aishah Mohd Amin, 38 tahun.

    Puteri Rahayu dan Aishah masing-masing pernah menjawat jawatan penting dalam organisasi bukan kerajaan yang memerlukan mereka mengembara ke luar negara semasa bertugas tetapi meletakkan jawatan bagi memberi tumpuan terhadap pembinaan keluarga mereka.

    Bekerja dari rumah

    Puteri Rahayu, yang memiliki tiga orang anak yang berusia dua tahun sehingga lapan tahun mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang setelah hampir tujuh tahun bekerjaya untuk bersama anak pada tahun 2013.

    Namun apabila dilihat dari sudut pandang yang lain, anak yang mempunyai ibu yang bekerja di rumah berkemungkinan kurang pandai bersosial, mereka mungkin pendiam, pemalu atau kurang berdikari kerana masa dihabiskan bersama ibu sahaja.
    Namun apabila dilihat dari sudut pandang yang lain, anak yang mempunyai ibu yang bekerja di rumah berkemungkinan kurang pandai bersosial, mereka mungkin pendiam, pemalu atau kurang berdikari kerana masa dihabiskan bersama ibu sahaja.
    Tidak dinafikan faktor utama yang diambil kira oleh kebanyakan ibu untuk bekerja dari rumah walaupun kerjaya mereka sebelum ini mampu menyara kehidupan sekeluarga adalah untuk mendapatkan masa yang lebih untuk anak.
    Tidak dinafikan faktor utama yang diambil kira oleh kebanyakan ibu untuk bekerja dari rumah walaupun kerjaya mereka sebelum ini mampu menyara kehidupan sekeluarga adalah untuk mendapatkan masa yang lebih untuk anak.

    “Kerjaya yang dahulu memerlukan saya ‘travel’ dalam dan luar negara jadi saya menetapkan untuk mencari peluang bekerja dari rumah sebelum anak sulung saya memasuki Tahun Satu kerana anak pasti memerlukan perhatian dan masa yang lebih dalam usia persekolahan,” kata Puteri Rahayu melalui emel kepada BERNAMA PLUS.

    Sentimen yang sama turut dirasai oleh Aishah, ibu kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki kerana menurut beliau untuk mengembangkan kerjayanya beliau perlu lebih banyak membuat tugasan di luar negara.

    “Kerjaya saya sudah ‘stuck’ dan sukar dikembangkan…dan memandangkan saya tidak betah untuk tidak berkembang, maka saya berhenti untuk memberi fokus kepada bisnes dari rumah,” kata Aishah. Beliau yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun bekerja di dalam bidang kemanusiaan kini lebih bahagia bergelar pemasar internet dan usahawan dari rumah.

    Galau di jiwa

    Seperti Aishah, Puteri turut bekerja dari rumah dengan menjalankan perniagaan jualan langsung  dalam talian secara sepenuh masa.

    Kedua-dua wanita ini mempunyai kebimbangan-kebimbangan yang sama setelah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan bekerja dari rumah.

    “Secara jujurnya, saya bimbang jika perniagaan yang saya jalankan tidak menjadi, kerana ia bermakna kami akan kehilangan separuh daripada punca pendapatan keluarga.

    “Saya menetapkan pendirian dengan berfikir bahawa saya lakukan ini kerana mahu mendahulukan keluarga, jadi saya yakin niat yang lurus akan diberi kemudahan oleh Allah untuk saya mencapainya,” kata Puteri Rahayu.

    Aishah pula masih dibayangi kebimbangan itu walaupun sudah tiga tahun berniaga dan bekerja dari rumah.

    Impak positif

    Tidak dinafikan faktor utama yang diambil kira oleh kebanyakan ibu untuk bekerja dari rumah walaupun kerjaya mereka sebelum ini mampu menyara kehidupan sekeluarga adalah untuk mendapatkan masa yang lebih untuk anak.

    Bagi Aishah dan Puteri Rahayu, keputusan yang mereka ambil untuk bekerja di rumah memberikan impak yang amat positif kepada diri mereka, suami dan yang paling penting kepada perkembangan anak masing-masing.

    “Saya memang menyerahkan seluruh tugas penjagaan kepada pusat asuhan anak kerana pergi kerja seawal 7.30 pagi dan pulang pukul 8.00 malam.  Anak yang masih menyusu juga harus dibekalkan dengan susu yang cukup dan saya makin tidak mampu,” kata Aishah.

    Setelah meletakkan jawatan, Aishah mula menjaga sepenuhnya anak beliau, hasilnya tiada lagi  masalah susu tidak cukup atau kesuntukan masa bersama mereka, selain mendapat sokongan daripada suami yang katanya gembira dengan keputusan yang diambil memandangkan mereka dapat makan makanan masakan sendiri yang lebih sedap, ekonomi dan sihat.

    Puteri juga mendapat sokongan daripada suami, ibu bapa dan ibu bapa mertua kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamatan dan kebajikan cucu mereka terabai sekiranya dihantar ke taska atau rumah pengasuh.

    Faedah tidak dijangka

    Selain dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anak dan masa berkualiti yang sememangnya hak mereka, ibu-ibu yang bekerja dari rumah seperti Puteri Rahayu dan Aishah ini juga merasakan mereka lebih bijak dalam menguruskan masa dan memiliki kesabaran yang tidak pernah disangka ada di dalam diri.

    “Saya benar-benar tidak menyangka yang saya punya kesabaran untuk menguruskan anak sambil bekerja di rumah.  Saya boleh  katakan yang faedah terbesar untuk diri sendiri adalah apabila tingkat kesabaran meningkat dua, tiga takuk,” kongsi Puteri Rahayu.

    Manakala Aishah memberitahu bahawa beliau boleh sahaja melepaskan semua yang dilakukan pada ketika itu dan memberi tumpuan kepada anak apabila mereka sakit dan terpaksa dimasukkan ke wad.

    “Saya tiada masalah cuti dan majikan yang akan mencari di waktu sebegitu dan saya juga boleh memberikan bantuan jika ada ahli keluarga yang memerlukan pada waktu bekerja,” katanya.

    Apabila bekerja di rumah, beliau memahami kepentingan menghargai masa kerana setiap detik adalah duit menyebabkan beliau belajar melakukan aktiviti yang berbaloi dan menjana pendapatan dalam tempoh masa yang ada.

    Pandangan pengamal, penjagaan kanak-kanak

    Menurut jurulatih dan konsultan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Nor Azura Ismail, ibu-ibu yang bekerja di rumah tidak dinafikan dapat memberi didikan dan asuhan terus kepada anak di samping dapat sentiasa memantau pergerakan anak di depan mata.

    “Anak dibesarkan dalam persekitaran rumah sendiri yang lebih selamat dari pelbagai aspek dan para ibu ini tidak perlu risau akan keperluan anak mereka kerana semuanya sudah tersedia terus dari rumah,” kata Nor Azura.

    Namun apabila dilihat dari sudut pandang yang lain, anak yang mempunyai ibu yang bekerja di rumah berkemungkinan kurang pandai bersosial, mereka mungkin pendiam, pemalu atau kurang berdikari kerana masa dihabiskan bersama ibu sahaja.

    Menurut Nor Azura, perkara yang perlu diambil kira oleh para ibu yang bekerja dari rumah adalah sama ada mereka memiliki asas kemahiran pendidikan awal kanak-kanak di mana para ibu ini berpengetahuan untuk menjalankan aktiviti bersama anak yang mampu membantu menggilap potensi dan menjana perkembangan anak mereka.

    “Pada pandangan saya, anak juga patut diberi peluang dan pendedahan bersama dengan rakan-rakan sebaya di taman asuhan kanak-kanak yang menitikberatkan potensi diri anak kerana di sana mereka berpeluang bergaul, bercerita dan bermain sepuas-puasnya,” kata Nor Azura.

    Para ibu yang bekerja di rumah disarankan menggali ilmu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak agar anak mereka tidak terlepas peluang meneroka zaman kanak-kanak sepuas hati dengan mengikuti bengkel-bengkel kemahiran keibubapaan.

    “Pendidikan anak awal usia bukan setakat memberikan asuhan dan menjaga keperluan dirinya kerana ianya lebih daripada itu iaitu membantu menggalakkan potensi diri anak dari semua aspek.

    “Ia juga bukanlah bermaksud memberi pendidikan akademik awal tetapi menggalakkan tahap perkembangan menyeluruh seorang anak,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda