LONDON, 28 APRIL – Pep Guardiola berkata memenangi Piala FA tidak akan mencukupi untuk selamatkan musim bermasalah Manchester City selepas menumpaskan Nottingham Forest 2-0 pada separuh akhir Piala FA kelmarin.
Skuad Guardiola telah dinobatkan sebagai juara Inggeris untuk empat musim lalu, tetapi prestasi suram mereka sepanjang musim ini memberi peluang kepada Liverpool untuk menjuarai liga.
Kelmarin, Rico Lewis menjaringkan gol dalam hanya 109 saat permainan sebelum Josko Gvardiol menamba kelebihan City 2-0 pada separuh masa kedua.
City akan menentang Crystal Palace dalam perlawanan akhir Piala FA ketiganya berturut-turut pada 17 Mei nanti.
Kedudukan City yang keempat dalam liga juga memberi tempat ke Liga Juara-Juara menerusi penamat lima teratas Liga Perdana.
Tetapi apabila diberitahu kepada jurulatih Sepanyol itu bahawa kegemilangan Piala FA dan kelayakan Liga Juara-Juara akan menandakan kempennya ‘berjaya’, dia menjawab: “Tidak, dan saya telah mengatakannya berkali-kali.
“Musim ini tidak bagus. Kami berada ‘seribu juta mata’ di belakang Liverpool, jadi musim ini tidak bagus.
“Lihat Liga Juara-Juara. Berapa banyak perlawanan yang kami menang? Satu atau dua? Dan (sebelum ini) kami seumpama mesin dalam liga itu.
“Kami tidak boleh katakan bahawa musim ini adalah baik jika kami menamatkan saingan di lima teratas dan layak ke Liga Juara-Juara.
“Kelab perlu mengambil keputusan yang betul, untuk musim depan menjadi lebih baik.”
City berada 21 mata di belakang Liverpool dalam liga dan satu mata di depan Chelsea dan Forest, yang juga mempunyai satu perlawanan dalam tangan, dalam perlumbaan untuk lima tempat teratas.
“Dan kami sangat gembira kami berada di final,” kata Guardiola, yang telah memenangi Piala FA dua kali dalam pemerintahan City.
“Tetapi musim ini ditentukan oleh Liga Perdana dan beraksi konsisten tetapi musim ini tidak berlaku. Perkara paling penting ialah kelayakan ke Liga Juara-Juara dan kami perlu bertenang sekarang dan pulih.” – AFP
