Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen, dua individu didenda

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seorang perempuan warga Filipina dan seorang pemilik agensi pekerjaan yang berlesen, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret masing-masing pada 21 Oktober 2025 dan 5 November 2025 atas pertuduhan di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004 kerana menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen dan meminjamkan lesen agensi pekerjaan kepada individu tanpa lesen.

    Jabatan Buruh dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, Imelda Taoc Riva, seorang perempuan warga Filipina, 56, telah mengaku menjalankan kegiatan agensi pekerjaan sekitar bulan Februari 2024 tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Buruh.

    Siasatan daripada Bahagian Agensi Pekerjaan di Jabatan Buruh telah mendedahkan bahawa Imelda telah membuat urusan mendatangkan pekerja asing dan mengenakan bayaran sebanyak $350, serta mengeluarkan resit menggunakan nama syarikatnya sekitar bulan Februari 2024.

    Di bawah Bab 6(1), Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, tiada seorang pun boleh menjalankan agensi pekerjaan melainkan dia adalah pemegang suatu lesen yang diberikan oleh Pesuruhjaya.

    Dalam kes ini, Imelda, telah didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad dengan satu tuduhan di bawah Bab 6(1), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 di depan Majistret Abdul ‘Azim bin Othman.

    Tertuduh didapati bersalah dan mengakui kesalahan yang telah dilakukan pada suatu ketika sekitar bulan Februari 2024.

    Gambar Freepik

    Bagi pertuduhan berkenaan, pada Hari Selasa, 21 Oktober 2025, Imelda telah dijatuhkan hukuman denda di bawah Bab 6(2), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 sebanyak $1,000.00.

    Jika gagal membayar denda, hukuman penjara selama satu bulan bagi kesalahan yang dilakukan, dan tarikh akhir membayar denda adalah pada hari yang sama.

    Sementara itu, Chua Ing Siah, pemilik kepada agensi pekerjaan yang berlesen iaitu TTSG Employment Agency, seorang perempuan warga tempatan berumur 43 tahun, mengaku bersalah kerana meminjamkan lesen agensi pekerjaannya kepada Imelda sekitar bulan Mac 2024, yang membolehkannya menjalankan kegiatan bagi pengambilan pekerja asing secara haram.

    Siasatan daripada Bahagian Agensi Pekerjaan di Jabatan Buruh telah mendapati bahawa pemilik TTSG Employment Agency membenarkan Imelda merekrut dan mengemukakan permohonan pekerja dengan bayaran $400 bagi setiap kes yang diluluskan pada sekitar bulan Mac 2024, walaupun mengetahui bahawa Imelda tidak berlesen.

    Walaupun Imelda tidak menyerahkan dokumen secara langsung kepada agensi kerajaan, beliau aktif dalam proses pengambilan pekerja dengan pengetahuan dan persetujuan penuh daripada TTSG Employment Agency.

    Penerimaan pelanggan dan bayaran oleh TTSG Employment Agency daripada Imelda dianggap sebagai memudahkan aktiviti agensi pekerjaan tanpa lesen.

    Di bawah Bab 31(f), Perintah yang sama, telah memperuntukkan larangan bagi pemegang lesen agensi daripada meminjamkan, memindah milik atau menyerahkan atau cuba meminjamkan, memindah milik atau menyerahkan lesen agensi mereka kepada orang lain.

    Dalam kes ini, pemilik TTSG Employment Agency didapati bersalah dan mengakui kesalahan yang telah dilakukan dengan satu tuduhan di bawah Bab 31(f) dalam Perintah yang sama. Sesi pendakwaan pula telah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Hanan bin Haji Erwan di hadapan Majistret Abdul ‘Azim bin Othman.

    Bagi pertuduhan berkenaan, pemilik TTSG Employment Agency juga telah dijatuhkan hukuman denda di bawah Bab 31, Perintah Agensi Pekerjaan 2004 sebanyak $2,000.00 pada 5 November 2025.

    Jika gagal membayar denda, hukuman penjara selama dua bulan bagi kesalahan yang dilakukan. Tarikh akhir membayar denda adalah pada hari yang sama.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak menjalankan sebarang kegiatan agensi pekerjaan khasnya bagi tujuan proses pengambilan, membekalkan dan mendatangkan pekerja-pekerja asing ke Negara Brunei Darussalam untuk tujuan pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.

    Selain itu, jabatan berkenaan juga ingin mengingatkan agensi pekerjaan yang berlesen untuk tidak meminjamkan lesen agensi kepada orang lain dan hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004.

    Jabatan Buruh memohon kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan sebarang pelanggaran Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, khususnya bagi kesalahan menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dengan menghubungi hotline Bahagian Agensi Pekerjaan di talian 8753594 atau email kepada agensi pekerjaan@buruh.gov.bn.

    Orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Buruh, di alamat http://www.labour.gov.bn/Theme/Home.aspx, untuk maklumat terkini bagi senarai agensi pekerjaan yang berlesen di Jabatan Buruh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda