BEIJING – Berdiri di hadapan kawasan air terjun di puncak salji Gongshika di wilayah Qinghai yang terletak 4,000 meter di atas paras laut selepas melakukan aktiviti pendakian selama beberapa jam, Geng Ru percaya malakukan aktiviti berkonsepkan aktif merupakan satu permulaan baik di tahun baru di mana ia dapat memberikan manfaat kepada kesihatan.
Penggemar aktiviti lasak berusia 27 tahun itu telah mengambil bahagian dalam program kecergasan tahunan kebangsaan, New Year Mountaineering and Body Building yang dianjurkan oleh biro sukan di seluruh negara sempena kehadiran tahun baru. Acara tahunan tersebut telah mula diadakan sejak tahun 1996 dan ia menjadi salah satu acara sukan utama di China yang telah berjaya menarik jutaan masyarakat dalam tempoh 20 tahun acara itu dianjurkan.
“Tatkala kaki saya berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung salji Gongshika, setentunya hati saya berasa bangga dan secara tidak langsung turut menyedari telah melakukan satu aktiviti bermanfaat kepada kesihatan sedari awal tahun ini,” jelas Geng.
“Saya memang merupakan seorang yang cukup gemar untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan di sebalik berpeluang untuk menikmati panorama indah di atas puncak ia juga dapat memberikan manfaat kesihatan di mana ia setentunya satu perkara yang terbaik dilakukan di awal tahun,” tambah Geng.
Di kampung halaman Geng iaitu Xining juga turat mengadakan acara sukan sebagai sebahagian daripada meraikan kehadiran tahun baru. Acara larian Tour of Xining Edisi ke-44 itu telah berjaya menarik lebih 10,000 pelari yang terdiri dari usia serendah tujuh tahun sehingga 80 tahun. Ia merupakan penyertaan kali kelima bagi Zhang Zengru, 68, yang menyertai acara larian tahunan itu dan tetap bersemangat untuk melakukannya kerana merasakan dirinya kekal cergas dan turut meningkatkan tahap kesihatannya.
Seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negara itu secara tidak langsung turut mendorong warga Cina untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mencambah minat mereka untuk menyertai pelbagai jenis sukan.
Lebih 60,000 penduduk bandaraya metropolis China, Shanghai yang mengambil peluang untuk mengunjungi kawasan taman bagi melakukan aktiviti riadah sambil berjoging dan bermain basikal secara berkumpulan.
“Saya sangat gemar melakukan latihan senaman di taman ini. Kerajaan telah menyediakan kemudahan awam yang berkualiti dan panorama bandar ini juga cukup indah, saya berharap semua ahli keluarga dan sahabat handai akan dapat mengekalkan kesihatan yang baik di tahun baru ini. Justeru saya juga telah memulakan aktiviti larian sedari awal tahun,” jelas Wu Dingyi yang menyertai acara larian tersebut bersama keluarganya.
Di utara Changchun, China beribu-ribu penduduk telah memulakan tahun baru dengan melakukan pelbagai aktiviti sukan musim sejuk seperti luncur salji, hoki ais dan juga berenang di kolam yang dingin. Tian Lin, 56 seorang yang cukup aktif melakukan sukan menjelaskan bahawa motivasi dalam memperlihatkan penduduk China yang aktif melakukan sukan di awal tahun 2018 ini adalah langkah positif untuk mencapai ke arah gaya hidup sihat.
“Semakin ramai individu yang menyedari betapa pentingnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktif melakukan aktiviti sukan,” jelas Tian. – Xinhua