Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Pemeriksaan ke atas kegiatan membuat kuih Malaya telah mendapati sebanyak 13 kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipercayai dilakukan oleh majikan semasa Operasi Waspada 166/2025 di Kampung Jerudong baru-baru ini.
Antara lain bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Kesalahan itu ialah Bab 10 Tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 39(2) Gagal membayar gaji kerja lebih masa, Bab 63 Gagal memberikan cuti rehat, Bab 64 Bekerja pada hari rehat, Bab 65 Bekerja melebihi jam bekerja yang ditetapkan , Bab 70 Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, dan Bab 71 Gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja.
Selain itu, majikan berkenaan turut melakukan kesalahan di bawah Bab 72 Gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, dan Bab 86 Tempat kegiatan bukan di tempat yang diisytiharkan ke Jabatan Buruh.
Sementara itu kesalahan lain di bawah Bab 112(1) Menggaji pekerja asing tanpa Lesen dari Pesuruhjaya Buruh yang mana majikan tidak berdaftar didapati menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain dan dua kesalahan di bawah Bab 112(2) Kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing iaitu pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan buruh kedai didapati melakukan pekerjaan sebagai menjual kuih Malaya dan tempat kegiatan bercampur dengan kegiatan lain.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan, dan jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti Menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja.
Selain memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu atau mana-mana hari dalam minggu tersebut, bekerja pada hari rehat hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain, Pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi 8 jam sehari dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja shift.
Di samping memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Memberikan cuti sakit berbayar yang disahkan oleh pengamal perubatan, Tidak menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain dan Memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh dan kegiatan tidak bercampur dengan kegiatan lain.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).



