Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Kegiatan perusahaan penyimpanan barang pembinaan tanpa kebenaran yang terletak di Kampung Sungai Tampoi, Mukim Sengkurong telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti kerana telah melanggar Seksyen 23(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan tanpa kebenaran perancangan.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kegiatan telah dijalankan di atas tanah syarat perumahan am di dalam zon perumahan yang mana tidak sesuai untuk tujuan perusahaan seperti ini.
Kegiatan tersebut telah mengganggu penduduk kawasan perumahan berhampiran, yang berpotensi menyebabkan bahaya dan menyebabkan kerosakan jalan raya di dalam kawasan tersebut.
Oleh itu, kegiatan seperti ini hendaklah dijalankan di dalam zon perusahaan yang disiapkan dengan pelbagai prasarana untuk menampung kegiatan seperti ini.
Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan, didapati pemilik tanah telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti dan membersihkan kawasan tersebut dan syarikat telah pun berpindah dan beroperasi di zon industri yang telah dikhaskan.
Orang ramai diingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Seksyen 23 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.
Kegagalan dalam mematuhi undang-undang tersebut boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Seksyen 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000; dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.
Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline JPBD di 8200 222.



