Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya menahan tiga individu yang terlibat dengan kegiatan perjudian di sebuah rumah kediaman di Batu Bersurat sekitar jam 9 pagi, pada 24 Mei lalu.
Serbuan ke atas sarang perjudian tersebut telah dijalankan oleh keanggotaan dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, semasa serbuan tersebut beberapa orang suspek lelaki dan wanita dipercayai cuba melarikan diri ketika anggota unit tersebut menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan.
Kesemua suspek serta barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Sehubungan itu, PPDB menegaskan bahawa kegiatan judi adalah merupakan racun masyarakat yang perlu dibendung dengan sewajarnya. Implikasi terhadap kegiatan ini akan sahaja merangsang kepada pengaruh yang sangat negatif sehingga boleh merosakkan institusi masa depan diri sendiri mahupun kehidupan berkeluarga.