Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sembilan suspek berumur antara 34 hingga 69 tahun yang terdiri daripada warga tempatan dan asing berjaya ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian sabung ayam dan judi katam-katam, baru-baru ini.
Operasi serbuan dikendalikan oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekitar waktu tengah hari itu menyasarkan sebuah rumah di kawasan Mukim Serasa.
Semasa serbuan, anggota PPDB berjaya menemui bahan-bahan bukti seperti telefon bimbit, mata wang Brunei dan asing yang dianggarkan berjumlah $3,000, dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti perjudian berkenaan.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke JSJ dan seterusnya dijalankan siasatan.
Kesemua suspek akan didakwa atas kesalahan berjudi di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah-rumah Perjudian Terbuka Penggal 28, kerana mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah-rumah Perjudian Terbuka Penggal 28, sesiapa yang didapati berada dalam tempat perjudian terbuka dianggap sebagai bermain atau telah bermain di dalamnya.
Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.