Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 8 MEI – Pegawai dan anggota Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah berjaya menggagalkan beberapa kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan hasil daripada operasi pemantauan dan pencegahan jenayah yang dijalankan di kawasan Bangar pada 6 dan 7 Mei.
Dalam kejadian pertama pada 6 Mei, pihak polis telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang disyaki membawa barang-barang tegahan dalam perjalanan menuju ke Daerah Brunei dan Muara.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan telah menemukan sebanyak 180 botol dan 624 tin minuman keras yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 7 Mei, hasil maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan Jalan Kubur Belais, Temburong, pihak polis telah menjalankan siasatan dan menemukan beberapa kotak plastik berwarna hijau yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Sungai Belais.
Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak berkenaan menemukan 24 botol dan 96 tin minuman keras.
Kedua-dua kes tersebut telah dilaporkan di Balai Polis Bangar dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan serta siasatan lanjut.
PPDB dalam kenyataannya menegaskan komitmen pihak berkuasa untuk terus giat menjalankan operasi pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Orang ramai turut diseru agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti penyeludupan atau jenayah lain yang boleh membawa akibat buruk kepada diri sendiri serta keluarga.