Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Dua orang wanita warga Vietnam telah diberkas kerana dipercayai terlibat menawarkan khidmat seks dalam serbuan di salah sebuah hotel di kawasan Batu Satu, di sini.
Kedua-dua suspek berkenaan, Li Thi Thu Hang, 24, dan Dinh Thi Yen Ly, 26, memasuki negara ini menggunakan pas pelawat.
Dalam serbuan itu, anggota Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis
Diraja Brunei (PPDB) menemukan beberapa barang bukti di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tidak bermoral tersebut.
Suspek dan semua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
PPDB dalam kenyataannya menekankan bahawa mereka memandang serius akan kegiatan maksiat seumpama ini dan menasihatkan pengendali-pengendali hotel, rumah sewa serta rumah tumpangan agar tidak melibatkan diri dalam menyediakan tempat bagi kegiatan menawarkan khidmat seks dan sebagainya.
Orang ramai juga diseru untuk sentiasa bekerjasama dan menyalurkan apa jua maklumat dalam sama-sama membanteras kegiatan sedemikian.
Kenyataan menekankan bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mahupun bersubahat dalam kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang negara ini.