Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kegigihan semangat pembuat patung tanah liat

    TIANJIN – Sepanjang hidupnya, Zhang Yu memegang kepada prinsip untuk hanya membuka satu kedai walaupun menyedari bahawa satu hasil karya yang dihasilkannya boleh mencecah sehingga nilai setinggi AS$10,000.

    “Saya sentiasa memastikan kualiti pada setiap hasil kerja yang dihasilkan,” jelas Zhang yang merupakan generasi keenam bagi seni pembuatan figura dari tanah liat di dalam keluarganya.

    Keluarga tersebut telah melibatkan diri lebih dari 180 tahun dalam seni pembuatan tanah liat tradisi di bawah nama Clay Figurine Zhang.

    Terletak di sebuah kawasan tradisi di perbandaran Tianjin, utara China, Zhang hanya menghasilkan sebanyak sedozen figura pada setiap tahun di mana ia hanya dikeluarkan secara terhad iaitu sebanyak 59 unit bagi setiap model.

    Pada kebiasaannya, Zhang mengambil masa selama tiga bulan untuk menyempurnakan sesebuah patung yang dihasilkan dengan teknik seni ukiran teliti, halus dan ditawarkan pada harga yang tinggi.

    Kanak-kanak kelihatan cukup teruja dalam menyaksikan demonstrasi pembuatan tanah liat yang dilakukan oleh Zhang Yu.
    Antara produk patung tanah liat yang dihasilkan oleh Zhang Yu.

    Terdapat percampuran budaya di Tianjin iaitu di antara tradisi dengan kebudayaan barat yang moden sekali gus memberikan inspirasi kepada Zhang untuk mengekalkan konsep gabungan tradisi dan moden itu pada hasil karyanya.

    “Tanpa keunikan budaya Tianjin, sesuatu hasil ciptaan itu akan hilang nilainya,” jelas Zhang.

    Berbekalkan kepada prinsip tersebut telah membuatkan Zhang tidak berminat untuk mengembangkan perniagaannya di luar daripada Tianjin.

    “Dengan tenaga yang terhad, saya lebih memilih untuk menumpukan perniagaan pada sebuah cawangan di Tianjin di mana ia secara tidak langsung meningkatkan tumpuan saya terhadap seni yang dizahirkan,” jelas Zhang.

    Mengimbas kembali pada sekitar tahun 1840an, Zhang Mingshan telah berjaya menghasilkan patung tanah liat yang berkonsepkan gabungan ukiran tradisi China bersama dengan teknik dari barat yang berjaya mendapat sambutan sehingga lahirnya Clay Figure Zhang yang berterusan selama enam generasi.

    “Memiliki kemahiran dalam seni ukiran tanah liat tradisi, Zhang Mingshan juga turut memiliki kemahiran dalam menghasilkan seni lain termasuk lukisan dan seni ukiran kayu,” jelas Timbalan Pengarah Galeri Seni Clay Figurine Zhang, Li Dan.

    Pada tahun 1930an, sebanyak 10 patung tanah liat berjaya dijual pada setiap hari dan hasil jualan selama dua hari pula secara tidak langsung telah membolehkan seseorang berupaya untuk membeli sebidang tanah di Beijing.

    Zhang Yu kelihatan begitu bersemangat dan teliti dalam menghasilkan seni ukiran patung berdasarkan tanah liat.

    Walaupun seabad telah berlalu, Zhang Yu menyedari bahawa dirinya bertanggungjawab untuk meneruskan tradisi seni pembuatan tanah liat tersebut dan dia telah mula mengambil alih perniagaan keluarganya pada tahun 1996 ketika berusia 18 tahun.

    Bersesuaian dengan peredaran masa, kraf dan seni tersebut juga turut berkembang.

    “Sesuatu seni dan kemahiran setentunya tidak akan dapat dijayakan tanpa artis yang mengusahakannya,” jelas Zhang sambil menjelaskan bahawa dia turut melancarkan kempen pada tahun ini bagi mempromosikan dirinya dan artis di bawah naungannya dengan menonjolkan bandaraya kelahirannya itu pada poster iklannya,

    Tidak seperti kebanyakan insan seni lain yang hanya membuat patung dan menjualnya di kawasan jalanan, dia juga telah melantik pengurus seni untuk mengeksploitasi dan memasarkan karya seninya pada pasaran yang lebih tinggi.

    Di samping menghasilkan patung-patung dari tanah liat, Zhang juga turut bertugas selaku pensyarah di beberapa buah universiti malah dia juga turut dijemput selaku pensyarah jemputan di beberapa buah negara.

    “Selagi semangat pertukangan masih terukir di dalam diri, generasi muda wajar untuk diberikan peluang untuk mempelajari tradisi China yang mereka minati sekali gus mempromosikannya dengan idea mereka sendiri,” jelas Zhang. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda