Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehadiran icardi di psg dijangka gugat cavani

    PARIS, 1 JUN – Kedatangan penyerang prolifik, Mauro Icardi di kelab juara liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dalam perjanjian empat tahun menimbulkan keraguan untuk masa depan penjaring terbanyak PSG, Edinson Cavani.

    Icardi menyertai PSG dengan pinjaman untuk satu musim dan telah mempamerkan permainan yang mengagumkan apabila beliau berjaya menjaringkan 20 gol dalam 31 perlawanan sebelum musim liga dihentikan kerana wabak COVID-19.

    Persembahannya yang meyakinkan itu mendorong Cavani diketepikan di posisi serangan oleh jurulatih, Thomas Tuchel.

    Cavani adalah pemegang rekod PSG sepanjang masa dengan 200 jaringan dalam 300 perlawanan dan tetap menjadi kegemaran peminat, tetapi penyerang Uruguay itu telah mencecah usia 33 tahun adalah salah satu daripada beberapa pemain yang kontraknya berakhir pada akhir musim ini.

    PSG memilih untuk membeli Icardi yang berusia 27 tahun dan memberinya kontrak sehingga Jun 2024.

    Reaksi Mauro Icardi semasa meraikan jaringannya bersama PSG pada perlawanan yang lalu. Ketibaannya di PSG dalam perjanjian empat tahun menimbulkan keraguan untuk masa depan Edinson Cavani. – AP

    Memandangkan usia muda Icardi dan permainannya yang serasi dengan bintang penyerang PSG, Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria dalam posisi serangan, mungkin terbukti semakin sukar bagi Cavani untuk mendapatkan posisinya kembali jika dia menandatangani kontrak baharu.

    Cavani dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico Madrid semasa jendela perpindahan Januari yang lalu tetapi PSG dilaporkan menolak tawaran 15 juta euro dari kelab Sepanyol itu.

    Tidak ada perincian kewangan yang diberikan oleh PSG mengenai berapa kos perpindahan Icardi, tetapi media Itali melaporkan pemindahan tersebut berharga 50 juta euro (AS$55.5 juta) dengan bonus tambahan.

    Icardi telah berjaya menjaringkan 124 gol dalam 219 perlawanan semasa beliau bersama Inter tetapi keunggulannya di sana berakhir di tengah musim yang pahit.

    Banyak pemerhati berwaspada ketika dia menyertai PSG secara pinjaman pada akhir musim perpindahan pada musim panas.

    Tetapi dia berjaya pergi ke Perancis dengan cepat dan membuat kemunculan pertama yang sangat baik, per-gerakannya sukar difahami dan sepakan penyudahnya telah menyumbang 12 gol di dalam liga, hanya berbeza satu jaringan sahaja dengan Neymar.

    Gabungan Icardi dan Mbappe sangat baik, mereka cukup serasi antara satu sama lain dalam serangan dan mengambil peluang mereka dengan cekap.

    Liga Perancis diakhiri dengan 10 pusingan yang berbaki setelah kerajaan menghentikan pertandingan domestik itu pada akhir bulan April, tetapi PSG tetap bersaing untuk memenangi Liga Juara-Juara buat pertama kalinya setelah mara ke suku akhir. Liga Juara-Juara akan tamat pada akhir musim panas.

    Sekiranya demikian, permainan tersebut boleh menjadi permainan terakhir Cavani untuk kelab yang dia sertai sejak penandatanganannya berjumlah 64 juta euro pada tahun 2013. Setelah lama berjuang untuk memenangi hati peminat yang membandingkannya dengan Zlatan Ibrahimovic dan mengejeknya, dia kembali dihargai peminat kerana etika kerjanya dan semangat berpasukan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda