Saya ingin berkongsi pengalaman saya selaku penduduk di kawasan Mukim Mentiri yang terpaksa berdepan dengan kehadiran monyet liar yang semakin menjadi-jadi.
Kehadiran monyet agresif itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan saya dan penduduk sekitar, tetapi haiwan itu juga membuat kekacauan pada harta benda kami.
Monyet-monyet berekor panjang ini biasa muncul dari hutan di belakang kawasan perumahan kami pada sebelah petang secara berkumpulan.
Haiwan-haiwan itu juga mencari makanan di tong sampah dan menyebabkan sampah berselerak dan mengotorkan jalan sehingga menimbulkan bau busuk dan menarik perhatian haiwan lain seperti anjing dan tikus.
Selain itu, monyet-monyet itu juga suka mengganggu kenderaan dengan menggelongsor di cermin kereta, mematahkan aerial, merosakkan harta benda sekitar rumah malah mengejar kanak-kanak serta kucing.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P6-A-Freepik_14022024.jpg)
Baru-baru ini, terdapat satu kejadian di mana saya sendiri hendak membuang sampah di salah satu tong sampah berdekatan.
Kemudian saya ternampak seekor anak monyet di tong sampah berdekatan dan sebelum sempat berbuat apa-apa, saya dikejar oleh seekor monyet besar yang menunjukkan taringnya.
Saya terpaksa lari dengan membaling bungkusan sampah ke arah monyet besar.
Malangnya, saya terjatuh di tangga dan mengalami kecederaan ringan. Nasib baik, monyet itu berhenti mengejar saya dan saya dapat menyelamatkan diri.
Berikutan kejadian tersebut, saya berasa sangat terkejut dan mengalami trauma. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi jika monyet itu menyerang saya.
Saya juga bimbang dengan keselamatan orang lain yang mungkin berdepan situasi yang sama.
Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah monyet liar ini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
Untuk pengetahuan pihak yang berkenaan, penduduk di kampung ini juga sebenarnya sudah berusaha mengusir monyet-monyet tersebut menggunakan pelbagai cara termasuk lastik, tetapi tidak berkesan.
Hakikatnya, masalah ini memerlukan bantuan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk menangkap dan memindahkan monyet-monyet itu ke tempat yang sesuai.
Saya juga mengharapkan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk menjaga keamanan dan kebersihan kawasan sekitar.
Trauma ambuk