Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Mengikut perkiraan aplikasi BruHealth, kehadiran jemaah bagi sembahyang fardu Jumaat pada 10 Disember lalu telah meningkat 88 peratus berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyampaikan penghargaan terima kasih kepada pihak yang menyelenggarakan sembahyang Jumaat berkenaan.Yang Berhormat Pehin juga berterima kasih kepada para sukarelawan, pasukan beruniform, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta lain-lain.
Beliau menyampaikan penghargaan itu semasa mengetuai Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi minggu ke-13, malam tadi, yang terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga KHEU dan keluarga masing-masing serta orang ramai.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof. Majlis diisikan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, bacaan Yasin, Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P2-A_13122021.jpg)