Oleh Ak Zaki Kasharan, Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Bulan Syawal telah pun berakhir, namun pelbagai pihak di negara ini masih mengadakan majlis terbuka dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
MINI Brunei juga telah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama kanak-kanak dari SMARTER Brunei berserta ibu bapa dan wakil mereka dan pemilik MINI pada Majlis Bilik Pameran Terbuka Raya, kelmarin.
Sambutan bersama kanak-kanak dari SMARTER Brunei itu adalah sebagai sebahagian daripada projek BIG Love for People yang berterusan.
Kira-kira 20 orang kanak-kanak bersama ibu bapa mereka dan wakil SMARTER Brunei menyertai acara tersebut di mana mereka dijamu pelbagai juadah Hari Raya di samping aktiviti seperti mewarna, membuat kad dan seni dan kraf turut disediakan untuk kanak-kanak.
Pada masa yang sama, kutipan derma telah dianjurkan di mana pemilik MINI dialu-alukan untuk menderma kepada pusat tersebut.





Sementara itu, baru-baru ini, Syarikat Perkhidmatan Sekuriti Daimun (DSS) di bawah kontrak Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) telah mengadakan Majlis Penyampaian Penghargaan dan Sambutan Hari Raya.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh wakil jabatan-jabatan BSP dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi DSS, Mejar (B) Wan Mohammad Tambrin Shah bin Haji Suhaili.
Penyampaian sijil penghargaan itu merupakan usaha syarikat bagi menghargai anggota keselamatan dalam mereka melaksanakan tugas sebagai pengawal keselamatan dengan sangat cemerlang.
Turut mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai penutup Syawal, baru-baru ini, adalah para pensyarah dan pelajar Institut KEMUDA yang berlangsung di kampus Beribi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua Institut KEMUDA, Awang Mohammed Khairy Yusrin bin Haji Abdul Salam.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan karaoke oleh kakitangan dan pelajar, pertandingan pakaian terbaik serta cabutan bertuah.
Di Daerah Tutong, lebih 30 orang ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) 1, 2 dan 3 telah mengadakan perjumpaan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di salah sebuah restoran di Pekan Tutong, kelmarin.
DPC berkenaan merupakan suka-relawan yang telah mengikuti pelbagai kursus dan latihan dari Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) mulai 2019 hingga kini.
Sementara itu, Haji Mustapa bin Haji Masri yang merupakan ahli DPC 1 dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan mengenai tujuan perjumpaan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli DPC seluruh negara.
Selain itu, ia juga peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat bagi sama-sama memaju dan mengaktifkan ahli-ahli DPC bagi membantu dan mengurang risiko bencana di peringkat kampung dan mukim masing-masing.
Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai dari NDMC.
Manakala itu, baru-baru ini, generasi keluarga besar Allahyarham Pengiran Haji Mohammad dan Allahyarhamah Pengiran Hajah Fatimah juga telah mengadakan majlis tahlil dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar.
Lebih kurang 300 orang ahli keluarga yang terdiri daripada empat generasi keluarga tersebut telah menghadiri majlis berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Aidilfitri Eratkan Silaturahim’ yang telah disampaikan oleh Dr Haji Muhammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk.
Acara diserikan lagi dengan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan bersama ahli keluarga yang lain dan diakhiri dengan acara bergambar ramai dan menikmati jamuan.
Soalan teka-taki dan soal jawab juga diselitkan semasa menikmati jamuan berlangsung bagi memeriahkan suasana.

