Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehebatan ikan Tenggiri batang sebagai pemangsa ganas

    Oleh Raz AS

    Ikan Tenggiri Batang atau juga dikenali sebagai Narrow-barred Spanish Mackerel, nama saintifiknya Scomberomorus Commerson, merupakan spesies ikan mackerel daripada keluarga Scombridae yang boleh didapati secara meluas di Asia Tenggara, pesisir pantai timur Afrika, dan dari Timur Tengah, sepanjang pesisir utara Laut Hindi dan hinggalah barat daya Lautan Pasifik.

    Ikan ini seperti ikan lainnya daripada spesies mackerel boleh dikenali dengan bentuk badannya yang tirus memanjang seakan-akan torpedo, berwarna hijau kebiruan dan keperak-perakan dan mempunyai jalur kebiruan atau kelabu daripada bahagian atas badannya dan mulai mengabur pada bahagian abdomennya.

    Ikan Tenggiri Batang yang mempunyai gigi yang tajam dan dikenali sebagai pemangsa ganas dan oportunistik dengan ketangkasan dan kekuatan renangnya ini dikatakan boleh mencecah kepanjangannya sehingga 200sm atau 2 meter dan mempunyai berat sehingga 70 kilogram.

    Ikan ini membiak di kawasan terumbu, di mana telur-telurnya akan dilepaskan dan diselaputi dengan minyak yang akan membolehkannya terapung dan berada di bahagian kolum atas air, yang mana suhu airnya dan kandungan oksigennya lebih tinggi serta mempunyai banyak plankton sebagai sumber makanan larvanya setelah telur menetas.

    Pada peringkat ini sehinggalah juvenil, ikan Tenggiri Batang dipercayai hanya akan berada di antara kalangan spesies mereka sendiri, sifat yang tidak ada pada spesies lain daripada genus yang sama.

    Apabila dewasa, baharulah ia akan bercampur dan berenang bersama spesies lain daripada genus yang sama.

    Ikan Tenggiri Batang betina mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada jantan, dan akan mencapai usia matang setelah kira-kira dua tahun atau mencapai panjang 80cm.

    Musim mengawan Tenggiri Batang selalunya bermusim, namun berpanjangan di kawasan tropika yang mempunyai suhu air yang tinggi. Oleh yang demikian nelayan-nelayan selalunya akan memburu ikan ini sebelum musim mengawan bermula apabila keagresifannya memburu makanan berada di tahap yang tinggi.

    Mempunyai nilai yang tinggi di pasaran, ikan ini menjadi buruan nelayan-nelayan komersial dan pemancing-pemancing rekreasi yang selalunya akan memikatnya menggunakan teknik menunda atau berhanyut menggunakan jig, sudu, dan umpan hidup.

    Ikan Tenggiri Batang mempunyai gigi yang tajam dan dikenali sebagai pemangsa ganas dan oportunistik dengan ketangkasan dan kekuatan renangnya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda