Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehebatan Rise of Skywalker masih tiada tandingan

    Oleh Zulkamal Haji Kamis

    Musim percutian khususnya pada bulan Disember ini, pecah panggung dipenuhi dengan pelbagai variasi filem baharu malah kutipan pecah panggung membuahkan hasil dengan peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding pada tahun lepas di minggu yang sama.

    Filem baharu pada minggu lepas, terbitan Disney dan Lucasfilm’s, Star Wars: The Rise of Skywalker masih terus gah berada di persada carta di mana pada minggu ini, filem ini telah berjaya memperoleh kutipan sekitar AS$72 juta hanya di pasaran domestik Amerika Utara.

    Filem J.J Abrams yang ketiga dan edisi yang terakhir dalam trilogi Star Wars ini telah mengumpul sekitar AS$136 juta semasa musim perayaan Hari Natal baru-baru ini, walaupun ia masih terus mengejar kutipan yang pernah diraih oleh siri terdahulu, The Last Jedi yang ditayangkan pada tahun 2017.

    Selepas berada dua minggu di dalam carta pecah panggung, filem Rise of Skywalker ini telah berjaya mengutip sekitar AS$725 juta di seluruh dunia sehingga menempatkannya di kedudukan yang ke-10 kutipan filem paling tinggi di seluruh dunia dan yang ketujuh terbesar di Amerika Syarikat.

    Filem baharu pada minggu ini, Little Women arahan Greta Gerwig menghangatkan lagi pecah panggung pada minggu ini dan berjaya mengutip kutipan sekitar AS$16 juta di Amerika Utara. Little Women berjaya mengutip sekitar AS$35 juta di seluruh dunia. Filem yang diterbitkan oleh Sony dan New Regency ini telah memperuntukkan sebanyak AS$40 juta bagi merealisasikannya.

    Selepas berada dua minggu di dalam carta pecah panggung, filem Rise of Skywalker ini telah berjaya mengutip sekitar AS$725 juta di seluruh dunia.
    Filem terbitan Sony, Jumanji: The Next Level berada di kedudukan yang kedua pada minggu ini dan berjaya memperoleh kutipan sekitar AS$35 juta di pasaran Amerika Utara.
    Filem animasi ini telah berjaya mengutip kutipan sekitar AS$13 juta di Amerika Utara selepas ditayangkan pada sambutan Hari Natal baru-baru ini.
    Frozen II masih mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga selepas beberapa minggu di dalam carta pecah panggung.

    Little Women yang diarahkan oleh Greta Gerwig ini masih mampu diterima penonton apatah lagi ia merupakan sebuah filem berkonsepkan klasik dan diadaptasikan kepada sastera rakyat Louisa May Alcott. Filem ini dibintangi oleh Saoirse Ronan, Florence Pugh, Timothee Chalamet, Emma Watson dan Laura Dern. Little Women menerima ulasan yang bercampur baur daripada pengkritik dan juga penonton.

    Seterusnya filem baharu pada minggu lepas, Uncut Gems bermula dengan agak sedikit lemah apabila ia hanya mampu menduduki tempat yang ketujuh pada minggu ini namun ia merupakan kedudukan yang terbaik setelah berada di tangga yang ke-15 pada minggu lepas. Filem ini telah berjaya memperoleh kutipan sekitar AS$9 juta dan mendapat gred C+ oleh pengkritik filem utama, CinemaScore.

    Diarahkan oleh Josh dan Benny Safdie, filem ini mengisahkan mengenai konflik dramatik yang dibintangi oleh Adam Sandler iaitu seorang jurujual barang perhiasan dan terjebak dalam arus sosial yang tidak sihat sehingga menyebabkan dia jatuh rugi.

    Kedudukan filem yang lain

    Selepas Rise of Skywalker, filem terbitan Sony, Jumanji: The Next Level berada di kedudukan yang kedua pada minggu dan berjaya memperoleh kutipan sekitar AS$35 juta di pasaran Amerika Utara. Filem ini masih belum dapat dikalahkan oleh mana-mana pendatang baharu selain Rise of Skywalker, begitu juga dengan filem animasi hebat, Frozen II. Pada minggu ini, Frozen II masih mengekalkan kedudukannya berada di tempat ketiga selepas beberapa minggu di dalam carta pecah panggung.

    Pada minggu ini, Frozen II telah berjaya mengutip sekitar AS$16 juta dan secara keseluruhannya, AS$1.21 bilion di seluruh dunia. Catatan itu telah berjaya memintas filem Minions yang mengutip AS$1.15 bilion dan menjadikannya sebuah filem animasi terhebat dan ketiga tertinggi dalam sejarah industri perfileman animasi pecah panggung.

    Manakala di tempat yang kelima pula adalah filem animasi terbaharu, Spies in Disguise, terbitan Disney dan Fox. Filem animasi ini telah berjaya memperoleh kutipan sekitar AS$13 juta di Amerika Utara selepas ditayangkan pada sambutan Hari Natal baru-baru ini. Filem animasi ini menampilkan paduan suara daripada Will Smith dan Tom Holland serta berjaya meraih sekitar AS$38 juta di luar negara.

    Selain itu, filem baharu pada minggu lepas, Cats mengalami kejatuhan yang sangat drastik malah dianggap gagal. Filem di bawah arahan Tom Hopper ini jatuh di kedudukan yang kelapan pada minggu ini dan hanya mampu mengutip sekitar AS$4 juta.

    Satu kekecewaan yang dramatik di mana pihak produksi telah menghabiskan sebanyak AS$100 juta untuk merealisasikan filem ini dan akhirnya tidak sampai meraih kutipan sehingga AS$10 juta. Di peringkat antarabangsa, Cats hanya mampu memperoleh sekitar AS$38 juta pada minggu ini.

    Manakala filem terbitan Lionsgate Fox, Bombshell turut menampilkan gerak yang sederhana, meraih kutipan sekitar AS$4 juta pada minggu ini. Filem ini turun tiga anak tangga berbanding minggu lepas dan secara keseluruhannya meraih sebanyak AS$15 juta di seluruh dunia.

    Ulasan istimewa pada minggu ini, filem arahan Sam Mendes, 1917 hanya mampu mengutip sekitar AS$1 juta semasa tayangan perdana di lima buah pawagam di Amerika Syarikat dan diterbitkan di bawah produksi Universal dan Dream Works.

    Filem epik Perang Dunia II ini mengisahkan mengenai dua tentera British yang ditugaskan untuk melaksanakan misi berbahaya bagi menyampaikan mesej yang boleh menyelamatkan beratus-ratus nyawa. Filem 1917 bakal ditayangkan pada 10 Januari nanti.

    Di New York dan Los Angeles, filem terbitan Warner Bros, Just Mercy telah berjaya mengutip sekitar AS$228,000 setelah ditayangkan di empat buah pawagam. Jamie Foxx, Michael B.Jordan dan Brie Larson merupakan bintang utama dalam menjayakan filem berkenaan dan mengisahkan mengenai seorang lelaki berkulit hitam yang dituduh melakukan pembunuhan.

    Filem tersebut mendapat respons yang menakjubkan di mana pengkritik utama CinemaScore memberikan gred A+ untuk kronologinya.

    Sebagaimana tahun 2019 telah melabuhkan tirainya, penjualan tiket masih belum dapat mengatasi kehebatan yang gemilang pada tahun 2018 di mana pada tahun ini, kutipan menurun kepada 4.4 peratus, menurut Comscore.

    Namun kebanyakan pengkritik filem mempercayai bahawa tahun 2020, kutipan pecah panggung akan terus berdepan cabaran dan ‘pasang surut’ kutipannya bergantung kepada filem baharu yang ditayangkan. Sejauh mana kehebatan filem akan datang, sama-sama kita saksikannya dan Selamat Tahun Baharu 2020.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda