LIVERPOOL, 27 April – Kehebatan Mohamed Salah telah berjaya mengalihkan fokus daripada masalah barisan tengah Liverpool ketika mereka mahu menamatkan musim ini dengan penuh bergaya. Skuad Jurgen Klopp bakal menerima kunjungan Stoke City dalam aksi Liga Perdana esok dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan hebat 5-2 ke atas Roma dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.
Salah mempamerkan aksi memukau ke atas bekas kelabnya, menjaringkan dua gol dan membantu dua jaringan lagi untuk merekodkan 43 jaringan musim ini.
Dia hanya memerlukan empat gol lagi untuk menyaingi rekod Ian Rush bagi jaringan terbanyak pada satu musim di Liverpool yang dicatatkan Rush pada 1983-84. Meskipun namanya terus menjadi topik perbincangan selepas perlawanan itu, di mana pemain Mesir itu mampu menjadi pencabar anugerah Ballon d’Or, munculnya kebimbangan mengenai kecederaan Alex Oxlade-Chamberlain yang mungkin memberi kesan terhadap impian Liverpool.
Pemain England itu akan terlepas aksi Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika berlanggar dengan Aleksandar Kolarov, dan ketiadaannya mula meresahkan Klopp. – AFP
