ANKARA, 28 MEI – Kehendak 85 juta rakyat Turkiye akan didengari dalam pemilihan presiden hari ini, ikrar Presiden Recep Tayyip Erdogan pada malam pilihan raya.
“Semua yang mempunyai keyakinan terhadap kehendak negara, mempunyai impian terhadap negara dan merasakan mereka pemilik tanah ini akan menjadi pemenang dalam pilihan raya 28 Mei.
“Mereka yang tidak membayangi pilihan raya, tidak mengabaikan kedaulatan undang-undang atau legitimasi, dan yang percaya kepada perubahan kuasa politik sivil akan dikira sebagai pemenang dalam pilihan raya ini tanpa kira hasilnya,” kata Erdogan pada perhimpunan terakhirnya di Istanbul pada Sabtu menjelang pengundian, lapor Agensi Anadolu.
Turkiye akan melaksanakan pilihan raya penentu pada Ahad bagi memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama 14 Mei lepas.
Erdogan bagaimanapun mendahului dengan 49.52 peratus.
Dalam pusingan kedua, Erdogan bakal berdepan Kemal Kilicdaroglu, ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP).
“Tidak kira parti politik mana yang mereka cintai, semua pengundi yang menunjukkan kehendak mereka melalui cara yang sah akan menang,” kata Erdogan.
Erdogan berkata beliau percaya bahawa mereka yang mengundi parti pembangkang pada 14 Mei seperti CHP, Democracy and Progress Party (DEVA), Peoples’ Democratic Party (HDP) dan Good Party (IYI Party) akan bertukar kepada People’s Alliance pada Ahad. – Bernama