Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehidupan di sebalik populariti yang diraih

    SETENTUNYA ramai yang merindui kehebatan bakat lakonan Koo Hye-sun yang sebelum ini pernah membintangi siri drama The King and I, Boys Over Flowers, Angel Eyes dan Blood.

    Beliau mula menyepikan diri setelah mendirikan rumah tangga bersama dengan seorang pelakon muda yang cukup terkenal iaitu Ahn Jae-hyeon.

    Justeru kini, Koo Hye-sun kembali lagi dengan sebuah siri drama terbaru yang berjudul You Are Too Much bergandingan dengan Uhm Jung Hwa yang sebelum ini juga turut pernah membintangi siri drama Witch’s Romance.

    Di samping itu, siri drama yang diarahkan oleh Baek Ho-min dan skripnya ditulis oleh Ha Chung-ok itu juga turut dibintangi oleh Jang Hee-Jin, Jung Gyu-Woon dan anggota kumpulan Kpop popular, Surprise iaitu Kang Tae-oh.

    Pada dasarnya siri drama You Are Too Much ini mengisahkan mengenai kehidupan di sebalik tabir populariti yang dikecapi oleh seorang selebriti termasuk kehidupan peribadi seperti hubungan percintaan, persaingan dan pengalaman pahit manis yang mungkin tidak didedahkan apabila menghiburkan di hadapan khalayak.

    Koo Hye Sun kembali memeriahkan dunia lakonan setelah membintangi siri drama You Are Too Much.
    Koo Hye Sun kembali memeriahkan dunia lakonan setelah membintangi siri drama You Are Too Much.

    Yoo Ji Na lakonan Uhm Jung Hwa pula merupakan seorang penyanyi yang cukup popular setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian.

    Walaupun berjaya meraih populariti dan kejayaan namun Yoo Ji Na tetap merasakan dirinya kosong dan masih bersedih berikutan daripada tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang pernah dilakukan olehnya iaitu meninggalkan anak lelakinya demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang penyanyi popular.

    Sementara, Jung Hae Dang lakonan Koo Hye Sun pula memulakan kerjayanya selaku peniru gaya nyanyian Yoo Ji Na demi untuk menyara kehidupan keluarganya setelah bapanya kehilangan pekerjaan.

    Bagaimanapun Jung Hae Dang seringkali merasakan kesulitan pada setiap kali melakukan mimik aksi nyanyian gaya Yoo Ji Na.

    Lalu apakah nasib yang bakal menimpa kepada dua orang insan yang menceburkan diri dalam bidang nyanyian ini dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama You Are Too Much ini sehingga ke penghujungnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda