GAZA CITY / ISTANBUL, 31 OGOS – Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) kelmarin beri amaran mengenai masa depan pendidikan di Gaza, dengan kadar keciciran melebihi 660,000 kanak-kanak untuk tahun ketiga berturut-turut ketika perang Israel menghancurkan wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Perang di Gaza adalah perang terhadap kanak-kanak dan ia mesti dihentikan. Kanak-kanak mesti dilindungi setiap masa,” menurut kenyataan UNRWA sambil memberi amaran bahawa generasi muda di wilayah itu berisiko menjadi ‘generasi yang hilang’.
Sementara sekolah di Tebing Barat yang diduduki dijadual dibuka semula pada 1 September, bilik darjah di Gaza kekal ditutup.
Kementerian Pendidikan Palestin berkata sekitar 700,000 pelajar di Gaza terjejas akibat penangguhan sesi persekolahan ekoran serangan berterusan, dengan lebih 70,000 tidak dapat menduduki peperiksaan peringkat menengah selama dua tahun berturut-turut.
Menurut data kementerian, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 17,000 pelajar sekolah dan lebih 1,200 pelajar universiti di Gaza, manakala puluhan ribu lagi cedera.
Di Tebing Barat yang diduduki, berpuluh-puluh pelajar turut terbunuh, cedera atau ditahan pasukan Israel sepanjang tempoh sama. Kesan turut dirasai tenaga pengajar dan kakitangan akademik.
Hampir 1,000 pekerja pendidikan terbunuh di Gaza, manakala ribuan lagi cedera atau ditahan di seluruh wilayah Palestin. Sejak Oktober 2023, Israel membunuh lebih 63,400 rakyat Palestin di Gaza. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran. – Bernama/Anadolu


