URUMQI – Kelahiran dan kematian berjalan seiring di kalangan kelompok ternakan Dilai. Begitulah keadaan yang berlaku di padang rumput Xinjiang. Sekarang sudah April, namun padang rumput Bayan Bulag masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda musim bunga. Mata hari tidak wujud, Dilai dan keluarganya tidak melihat apa-apa melainkan awan gelap dan emping salji selama tiga hari. Biri-biri betina yang mengandung mencakar tanah yang dilitupi salji, mencari rumput sementara anak kambing biri-biri yang baru lahir menggigil dalam cuaca berangin.
Cuaca buruk ketika musim bebiri beranak merupakan perkara terakhir yang diingini oleh gembala. Gembala masih memelihara tradisi meragut dan berpindah ke padang rumput Bayan Bulag, barat laut Rantau Autonomi Uygur Xinjiang China.
Dilai, 50, telah menjadi gembala di padang rumput subur berdekad-dekad lamanya. Sekumpulan 200 kambing biri-biri yang diwarisi daripada bapanya telah berkembang kepada 1,000, namun pada tahun ini cuaca tidak menunjukkan sebarang belas kasihan. Salji dan cuaca sejuk telah membunuh lebih daripada 5,000 haiwan ternakan di Bayan Bulag pada April sahaja.
Dalam keadaan yang dingin dan suram, Dilai dan keluarganya sedang melakukan yang terbaik sementara bersiap sedia menghadapi keadaan paling teruk.
Rutin harian
Setiap hari, Dilai dan anak lelaki sulungnya Dovton memeriksa kumpulan kambing biri-biri dengan menunggang kuda. Anak saudara Dilai Qimti Cering, yang datang bersama isterinya untuk membantu, memerhati mana-mana anak yang baru lahir yang telah ditinggalkan oleh ibu mereka.
Keadaan boleh menjadi menyayat hati di sini. Seekor anak biri-biri bergelut bangun dan merangkak kepada ibunya, tetapi ibunya mengembek marah dan mengelak anaknya yang baru lahir. Anak biri-biri mendekati sekali lagi, sebelum ditendang dengan kasar oleh ibunya yang marah.
Biri-biri betina mendengus dan melarikan diri dari tempat itu, meninggalkan anaknya dalam ketakutan dan menggigil. Ia adalah kali keempat anak kambing biri-biri disisihkan oleh ibunya.
Kesejukan dan kelaparan menghentikan naluri keibuan biri-biri betina. Kebanyakan ibu pertama kali tidak mampu menjaga anak mereka yang baru lahir. Gembala penyayang diperlukan untuk membantu anak biri-biri yang ditinggalkan. Gembala memegang atau mengikat kaki depan ibu supaya anak biri-biri boleh menyusu. Ibu yang terus-menerus menyisih anak yang baru lahir, akan diikat kepada anak mereka. Gembala mengawasi kumpulan kambing biri-biri mereka pada malam dan berasa bimbang. Berpuluh anak biri-biri dijangka dilahirkan semalaman. Tanpa jagaan yang kena pada waktunya, ketibaan anak baru akan mati tidak lama selepas dilahirkan.
Dilai dan Qimti menjaga pada malam dan terpaksa menghabiskan masa di kurungan terbuka tanpa alat pemanas dan tidak ada apa-apa kecuali lampu suluh kecil untuk cahaya. Selama sebulan, mereka terpaksa menghabiskan malam mereka dalam kurungan, mengawasi kambing biri-biri mengandung, menghalang mereka daripada melarikan diri atau beranak di tempat lain. Mata Dilai berwarna merah disebabkan kurang tidur.
“Pendapatan keluarga bergantung pada biri-biri baru, maka menjaga mereka dengan baik adalah paling penting, walaupun jika kami tidak makan atau tidur,” kata Dilai.
Berbalut dalam kuilt, beliau duduk berhadap kurungan, menunggu, mendengar. Isteri Dilai Tuya menyediakan makan lewat malam pada pukul 11:00 malam. Ia adalah satu-satunya peluang keluarga untuk berkumpul bersama selepas bekerja keras seharian. Ia bukan ribut pertama yang diharungi oleh Dilai, tetapi beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan pekerjaannya. Kehidupan padang rumput adalah darah daging beliau



Tuya masih ingat mereka hanya mempunyai rumah yurt, sebuah katil dan meja persembahan apabila mereka berkahwin. Namun kerja-kerja mereka dalam beberapa tahun selepas itu telah membuahkan hasil. Kini anak mereka mempunyai rumah dan kereta di bandar.
Selain daripada 10,000 yuan yang diberikan dalam bentuk subsidi oleh kerajaan setiap tahun, Dilai memperoleh 300,000 yuan daripada padang rumput. “Saya ialah seorang gembala. Menggembela di padang rumput adalah kehidupan saya,” kata Dilai. “Saya tidak akan meninggalkan ternakan saya melainkan saya sudah terlalu tua untuk berjalan atau menunggang kuda saya.”
Dovton, 26, mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu bapanya selepas beliau tamat sekolah tinggi. Beliau adalah anak lelaki sulung dan menjadi tanggungjawabnya untuk meneruskan kerjaya bapanya supaya dua adiknya yang lebih muda mempunyai peluang untuk melihat dunia luar. “Ibu bapa saya tidak dapat meninggalkan ternakan mereka. Mereka berdua terpaksa menjadi haiwan tersebut, dan saya mahu menjaga kedua-dua mereka. Itulah sebabnya saya tinggal,” kata beliau.
Dapat melihat haiwan ternakan dan rumahnya di cerun berhampiran, Dovton berkata beliau mempunyai gred yang bagus di sekolah dan akan pergi ke kolej jika bukan disebabkan oleh ibu bapanya. Tatkala malam semakin larut, sekumpulan satu dozen anak biri-biri dilahirkan. Kebanyakan mereka adalah sihat, walaupun beberapa ekor berada dalam keadaan kritikal.
Seekor anak biri-biri adalah terlalu lemah untuk membuka mulutnya. Ia baring tanpa bergerak tatkala seorang gembala cuba menuang susu ke dalam mulutnya.
Selama setengah jam, Qimti cuba membantu anak biri-biri itu, namun pernafasannya menjadi semakin lemah. Tidak jauh dari tempat itu, burung hering dan burung gagak berlegar di atas. Akhirnya, anak biri-biri itu gagal diselamatkan. Kematian menang.
Hari baru tiba, walaupun mata hari masih belum keluar dan emping salji terus terapung-apung di udara. Apapun cuaca di padang rumput Xinjiang, gembala terus mengawasi haiwan ternakan mereka dan kitaran kelahiran dan kematian yang tidak putus-putus itu. – Xinhua