Kehilangan pelakon asal Malaysia iaitu Azar Azmi yang lenyap daripada radar dunia seni terus menjadi tanda tanya ramai termasuk dalam kalangan rakan dalam industri lakonan.
Sebagai individu pernah rapat dengan Azar, aktor Hafreez Adam juga sudah tidak lagi mendengar khabar daripadanya selepas kali terakhir berhubung pada September 2021.
Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, berkata mereka pernah dalam fasa mengenali hati budi masing-masing namun hubungan itu tidak bertahan lama.
“Kami pernah keluar bersama sebelum ini namun tidak meletakkan sebarang status, hanya sekadar fasa kenal hati budi. Bagaimanapun, sekitar Julai 2021 kami mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.
“Kali terakhir kami bertemu sekitar September tahun sama sebelum dia terus hilang sehingga kini.

“Saya pernah hantar mesej kepadanya pada November 2022 apabila produksi cuba mencarinya namun mesej tersebut tidak dibalas,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.
Dalam pada itu, usaha menjejaki Azar melalui keluarganya juga tidak berjaya malah pengurusnya sendiri tidak mengetahui keberadaan pelakon itu ketika ini.
Malah kata Hafreez, pelakon Janna Nick memberitahu Azar pernah menghantar mesej ternampak dia sedang bersenam namun enggan bertemu.
“Saya tahu tentang keluarganya tetapi tidak ada nombor untuk dihubungi,” katanya.
Menyifatkan Azar sebagai individu yang ceria, Hafreez yakin aktres itu ada alasan tersendiri mengambil jalan menghilangkan diri. – Agensi