Oleh B.A. Husainmiya
PEMERGIAN tokoh negara yang cukup ikonik, Pengiran Dato Haji P.M. Sharifuddin pada Ahad lalu setentunya meninggalkan rasa sedih dalam kalangan keluarga, rakan-rakan, pekerja dan masyarakat yang mengenali beliau.
Dalam kunjungan saya ke Negara Brunei Darussalam, saya telah berpeluang untuk bertemu dengan Allahyarham melalui undangan peribadi.
Melalui pertemuan tersebut, kami telah membincangkan pelbagai projek merangkumi aspek pendokumentasian biografi dan kehidupan individu terkemuka di Brunei.
Setentunya ia merupakan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan untuk melihat seorang ahli perniagaan yang memiliki tahap intelektual tinggi turut menyimpan minat dalam mengetengahkan nama-nama individu yang telah berjaya mengharumkan nama negara.
Secara dasarnya, kehidupan Allahyarham itu sendiri penuh dengan inspirasi yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada generasi muda di Brunei dalam mengejar cita-cita sehingga mengecapi kejayaan.
Pengiran Dato Sharifuddin bin Metali telah dilahirkan di Tutong pada 19 Oktober 1936 dan bukannya daripada latar keluarga mewah. Beliau berusaha dengan penuh gigih untuk mengecapi kejayaan dalam kehidupannya.
Melalui sesi temu bual bersamanya, Allahyarham mendedahkan mengenai kesukaran hidup yang dihadapi oleh keluarganya di zaman pra perang bersama dengan teman-teman seangkatannya, Pehin O.K. Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Haji Umar dan Pengiran Dr Haji Ismail yang kemudiannya berjaya mengikuti pengajian pada peringkat tertinggi sekali gus melayakkan mereka untuk memegang jawatan menteri-menteri kerajaan.
Beliau memulakan sesi pengajiannya di sebuah sekolah kampung di Tutong dengan hanya berjalan kaki dan terpaksa merentasi kawasan hutan serta panas terik matahari.
Bapa saudaranya, Allahyarham Pengiran Haji Yusuf Rahim, seorang cheteria terkemuka dan pernah menjadi Ketua Setiausaha Negara Brunei telah menjadi idolanya untuk mencapai kejayaan.
Arwah bapa saudaranya itu telah memperkenalkan abjad Bahasa Inggeris sekali gus meningkatkan minat Allahyarham dalam bidang pelajaran bagi memperbaiki nasib keluarganya.
Setelah berjaya menamatkan pendidikan menengahnya dalam aliran Inggeris di Maktab SOAS di Bandar Brunei, beliau telah melanjutkan pengajian Diploma di Persatuan Muzium British, England dalam bidang pengkhususan kepada Antropologi dan Pentadbiran Awam.
Beliau juga pernah berkhidmat di Muzium Sarawak di bawah seliaan Pengarah Muzium, Tom Harrison yang melakukan kerja-kerja pengalian peringkat perintis di Gua Niah, Sarawak.
Dari situ, minat Allahyarham untuk terus menerokai bidang arkeologi dan warisan Brunei semakin bercambah dan hasil bimbingan daripada Tom Harrison juga turut meningkatkan kemahiran beliau dalam melakukan kajian sejarah.
Beliau juga pernah memegang jawatan pengarah pertama Muzium Brunei.
Pada tahun 1972, bangunan muzium yang turut mendapat sentuhan idea dan rekabentuk daripada Allahyarham telah dibuka secara rasmi oleh Ratu Britain, Queen Elizabeth II.
Penerbitan Jurnal Muzium Brunei yang terkenal turut berkembang di bawah pengawasannya dan beliau turut aktif dalam menyumbangkan penulisan artikel dalam Jurnal Muzium dan Jurnal Malaysia yang merupakan cawangan kepada Persatuan Diraja Asiatik.
Selaku seorang pencinta warisan, beliau memang sangat berminat untuk menghidupkan kembali seni dan kraf tangan Brunei sekali gus berusaha gigih untuk menubuhkan Pusat Kesenian sebagaimana yang dapat disaksikan terbina megah di tebing Sungai Brunei.
Pada sekitar tahun 1980an, beliau telah mula menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan. Selepas bersara dari perkhidmatan awam, beliau telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan sekali gus menjadi perintis pengusaha Melayu yang nyata berjaya memberikan hasil yang menguntungkan.
Bagaimanapun beliau tetap mengkalkan minatnya dalam aktiviti-aktiviti berkaitan dengan muzium dan antropologi sehingga melayakkan dirinya sebagai ahli berprestij di Persatuan Diraja Asiatik, Kuala Lumpur dan Persatuan Muzium, United Kingdom.
Semasa masih berkhidmat di Perkhidmatan Awam, beliau telah banyak berbakti dan memberikan sumbangan kepada negara dan menjadi ahli kepada Lembaga Bandaran, Bandar Seri Begawan, Lembaga Pelesenan Pengangkutan Darat di Kementerian Perhubungan, Majlis Pembangunan Industri Perdagangan di Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama, Lembaga Pelesenan Perkapalan Jabatan Laut.
Beliau juga merupakan bekas pengerusi Jawatankuasa Kerja untuk Memudahkan Dasar Ekonomi, Kewangan dan Kredit; Infrastuktur; Buruh; Imigresen; Perdagangan; Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei dan lain-lain.
Pada tahun 2005, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (Ketua Pusat Sumber).
Selaku seorang ahli perniagaan, beliau telah menubuhkan beberapa perusahaan di bawah penjenamaan PDS termasuk Abattoir Sdn Bhd and PDS Meat Industries (B) Sdn Bhd, Sekolah Antarabangsa, Kejuruteraan dan sebagainya.
Selain daripada itu, beliau juga menjadi ahli lembaga kepada beberapa buah syarikat seperti Goh Hock Kee Motors, Freme Travel Service dan lain-lain.
Dengan keperibadiannya yang baik setentunya membuatkan beliau mudah didekati oleh ramai rakan tidak kira sama ada mereka terdiri dari bangsa Melayu, Cina atau puak-puak jati yang lain.
Saya juga pernah berkesempatan untuk berkomunikasi dengan beberapa orang pekerjanya yang ternyata memang turut memuji sifat baik hati dan pemurah yang dimiliki oleh Allahyarham malah sentiasa menjaga kebajikan mereka.
Ketika saya mmbincangkan mengenai hasrat dalam memberikan bantuan terhadap sebuah sekolah di kawasan terpencil di Sri Lanka, ternyata Allahyarham turut menyambut baik niat itu serte terus menghantar dana bagi membiayai kos pembayaran gaji guru.
Allayarham merupakan seorang yang baik hati dan memiliki sifat dermawan.
Nama Allahyarham setentunya kekal dalam ingatan dalam membangunkan sukan di Brunei khususnya dalam sukan golf.
Di usia belianya, beliau pernah bertugas dalam mengumpulkan bola-bola golf di Seria yang secara tidak langsung turut mencambah minat dirinya terhadap sukan tersebut.
Hakikatnya, Allahyarham sendiri merupakan pemain golf yang baik sekali gus turut menjadi pereka dan membiayai dana dalam merealisasikan Kelab Padang Golf Mentiri.
Kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya Allahyarham jelas mencerminkan bahawa usaha dan dedikasi yang dilaksanakan oleh individu itu menjadi pemangkin yang memacu ke arah kejayaan. Pencapaian yang diraih di sepanjang riwayatnya jelas memperlihatkan usaha warga Brunei yang sentiasa berusaha dalam mengecapi kejayaan walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan.
Allahyarham Pengiran Dato Haji P.M. Sharifuddin setentunya akan sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh yang memiliki sifat intelektual, usahawan, aktivis sosail dan dermawan.