Pelakon China dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu di sempadan Thailand dan Myanmar.
Menurut Polis Thailand, Thatchai Pitaneelaboot, siasatan awal mendapati mangsa Wang Xing atau dikenali sebagai Xing Xing dipaksa melakukan aktiviti berkaitan sindiket penipuan dan pemerdagangan.
“Siasatan mendapati warga China terlibat dalam kehilangan Xing Xing. Dia berjaya ditemui pihak berkuasa di Myanmar pada Selasa dan dibawa pulang dengan selamat ke Bangkok,” katanya.
Thatchai berkata mangsa dipercayai sebahagian daripada operasi sindiket penipuan pusat panggilan.
Malah mangsa juga dikatakan dilatih menggunakan program sembang bertujuan untuk menipu rakyat di China, lapor mStar.
Kata Thatchai, mangsa bagaimanapun dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Xing Xing pada awalnya percaya dia ke Thailand untuk peluang berlakon, tetapi kemudian mendapati dirinya dipaksa menipu rakyat China yang lain,” ujarnya.
Hasil siasatan juga mendapati Xing Xing ditawarkan menghadiri sesi uji bakat sebuah filem menerusi aplikasi WeChat.
Individu tersebut mengaku sebagai wakil agensi untuk mencari pelakon bagi filem terbaharu mereka. – Agensi


