Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keindahan flora raikan Hari Keputeraan

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Bagi memupuk minat masyarakat terhadap seni tanaman hiasan dan landskap, Majlis Perasmian Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 bagi Tahun 2025, Peringkat Daerah Brunei dan Muara, berlangsung di Taman Rekreasi Menteri Besar, Berakas, kelmarin.

    Majlis itu dianjurkan bersama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dengan sokongan Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Brunei dan Muara.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Bunga Athurium Lookeri Variegated milik Haji Hamdan bin Haji Othman memenangi Anugerah Best of the Best. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato pada majlis berkenaan, Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup serta Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup, Hajah Arbaeyah binti OKSW Haji Abdullah.

    Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Martinah mengongsikan bahawa acara itu bukan sahaja menjadi wadah untuk menyerlahkan kreativiti peserta, malah turut berperanan sebagai platform bagi meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap penjagaan serta pemeliharaan alam sekitar.

    Beliau menambah dengan membawa tema, Keindahan dan Kebersihan Alam Sekitar Asas Kesejahteraan Negara, penganjuran acara itu diharap dapat memupuk minat masyarakat terhadap seni tanaman hiasan dan landskap serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menghargai dan memelihara keindahan alam sekitar.

    Majlis juga diselitkan dengan Peraduan Seni Gubahan Bunga, di mana seramai 10 orang peserta daripada jemputan yang hadir telah menunjukkan kreativiti dan kepakaran melalui gubahan bunga secara spontan.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah Pertandingan dan Pertunjukan Bunga- Bunga Hidup serta Seni Gubahan Bunga oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.

    Acara itu mempertandingkan sebanyak 13 kategori tanaman dan seramai 34 orang peserta telah mengambil bahagian dengan sebanyak 215 pohon bunga yang dipertandingkan. Pemenang-pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan iaitu tempat pertama mendapat $100.00, tempat kedua menerima $80.00, tempat ketiga pula, menerima $50.00 dan hadiah sagu hati, $20.00.

    Bagi kategori Seni Gubahan Bunga, 3 orang pemenang turut menerima hadiah masing-masing berupa wang tunai sebanyak $30.00, $20.00, dan $10.00.

    Sijil penghargaan turut disampaikan kepada panel-panel hakim serta agensi dan pempamer yang mengambil bahagian dalam pameran rekaan landskap.

    Selain itu, Anugerah Best of the Best turut disampaikan kepada pemenang keseluruhan iaitu Haji Hamdan bin Haji Othman yang menghantar Bunga Athurium Lookeri Variegated dalam Kategori Tanaman Dalaman Daun Berbagai Warna yang telah menerima tiket penerbangan ulang-alik ke Kota Kinabalu yang ditaja oleh Royal Brunei Airlines (RB).

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda juga mengadakan lawatan ke tapak pameran bunga-bungaan dan tanaman hiasan yang turut dibukakan kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.

    GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis itu turut disokong oleh Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, D’Sunlit Sdn Bhd, KN Nursery (B) Sdn Bhd, MS Abdur Rahman Sdn Bhd, Lasar View Sdn Bhd, Kilang Maskayu Sdn Bhd dan Md Raffie Construction.

    Acara Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup dibukakan kepada orang ramai dari 11 Oktober hingga 19 Oktober bermula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 8.00 malam di Taman Rekreasi Menteri Besar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda