Oleh Nurdiyanah R.
TATKALA ilham beralun di minda, jari-jemari insan-insan ini sentiasa mencoretkan lakaran di atas kanvas. Mereka bagaikan melukis dari hati sehingga mampu terhasilnya karya-karya lukisan yang indah serta menyejukkan mata setiap orang yang memandangnya.
Dunia seni lukis itu bagaikan matahari yang selalu hadir mewarnai hari-hari insan yang bernama pelukis tanpa rasa jemu dan bosan. Dengan adanya anugerah bakat serta minat yang mendalam dalam dunia seni lukis itu, segala ketenangan dan kepuasan akan sentiasa dirasai dalam diri.
Oleh yang demikian, wartawan Minda berkesempatan menemui beberapa pelukis veteran tanah air, dari ahli-ahli Forum Kesenian Brunei, bagi menerokai koleksi karya lukisan mereka, yang mana telah dipamerkan semasa berlangsungnya Galeri Seni 3 Dimensi, iaitu salah satu aktiviti dalam Festival Seni dan Kraf Tutong 2018, bertempat di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang, Pekan Tutong, baru-baru ini.
Adapun festival yang bertemakan ‘Seni dan Kraf untuk Semua’ itu diadakan adalah untuk menjaga khazanah penting, yang perlu dimartabatkan dan dipertahankan, kerana ia adalah antara nadi kehidupan berbudaya bagi semua lapisan masyarakat untuk diwarisi generasi pada masa kini dan akan datang. Di samping itu, ia juga bermatlamat bagi meningkatkan keceriaan kawasan Pekan Tutong sebagai pusat pentadbiran di Daerah Tutong.
Selain itu, festival tersebut juga bertujuan untuk memperluaskan industri seni dan kraf agar ia terus maju dan mampu menyumbang kepada industri pelancongan Daerah Tutong dan sosioekonomi masyarakat setempat.
Dengan adanya acara sebegini, ia secara tidak langsung dapat memberikan ruang dan platform kepada para penggiat seni lukis tanahair untuk mengongsikan kemahiran dan pengalaman mereka melalui demonstrasi dan sentuhan karya mereka kepada semua lapisan masyarakat tempatan dan juga pelancong dari luar negara.
Sehubungan dengan itu, pameran yang mengandungi lebih 30 karya lukisan itu memiliki keindahan dan daya tarikan yang tersendiri dengan pelbagai konsep dan teknik yang dihasilkan oleh para pelukis untuk dihayati bersama para pengunjung.
Berilhamkan sesebuah warisan kehidupan
Menceburi dunia seni lukis sejak tahun 1974, semasa melanjutkan pengajian peringkat GCE A Level di luar negara sehingga ke tahap Institusi Pengajian Tinggi (IPT), telah menjadikan Dr Haji Zakaria bin Haji Abd Hamid semakin bersemangat dalam mencurahkan karya-karya beliau semasa berlangsungnya festival berkenaan.
Sebanyak enam buah lukisan telah dihasilkan dan dipamerkan oleh beliau de-ngan tema lukisan warisan (heritage), yang mana menggunakan kaedah akrilik yang menurutnya lebih mudah kerana cepat kering.
“Dalam menghasilkan seni lukis ini, ilham saya kebiasaannya berasaskan dari apa yang saya ketahui dalam ingatan berbanding dari apa yang saya lihat,” jelas beliau yang juga merupakan mantan Pesyarah Seni Lukis, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Beliau yang kini berusia 63 tahun itu juga menambah bahawa semua lukisan yang telah dihasilkan itu pastinya bersumberkan pengetahuan umum dari se-sebuah ingatan atau kenangan sewaktu kecil seperti suasana kehidupan di Pekan Tutong, kenangan terindah sewaktu kecil bermandi-manda di telaga yang terdapat di kampung halaman dan sebagainya.
Dalam pada itu, Dr Haji Zakaria juga turut mengemukakan pandangan bahawa seni lukis ini mempunyai faedah dan kebaikan tertentu untuk semua lapisan masyarakat antaranya ialah ianya dapat memberikan ketenangan. Ia ibarat kita berada di dunia kita sendiri. Itulah hebatnya dunia seni lukis itu yang mana setiap penciptaannya mempunyai episodnya tersendiri, yang memiliki makna tersurat dan juga tersirat.
Tersimpannya rahsia dalam seni lukis
Manakala bagi salah seorang pelukis tempatan, yang kini berusia 57 tahun, Pengiran Mohd Roslan bin Pengiran Haji Bakar menjelaskan bahawa beliau telah mempersembahkan sembilan buah seni lukisan, dengan bertemakan tempat-tempat menarik di Daerah Tutong, yang telah dipamerkan di festival berkenaan. Jelasnya ia menggunakan kaedah cat air dan akrilik untuk menghasilkan karya seni tersebut.
“Lukisan ini sememangnya sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan kita kerana salah satunya ia mampu merekodkan perkara-perkara nyata dalam sesebuah sejarah seperti ukiran-ukiran atau simbol-simbol yang terdapat di gua-gua sewaktu zaman purba dahulu. Itulah indahnya seni lukis yang pastinya menyimpan rahsia disebaliknya,” tambahnya lagi yang juga merupakan salah seorang mantan guru lukisan di salah sebuah sekolah kerajaan.
Beliau yang meminati seni lukis sejak di bangku sekolah lagi juga mempunyai harapan yang besar agar khazanah koleksi seni lukis tempatan ini akan sentiasa mendapat sokongan sebaik-baiknya oleh mana-mana pihak tertentu seperti dengan adanya galeri khusus dan lebih formal untuk dijadikan sebagai tempat tarikan para penggemar seni ini, sama ada dalam kalangan masyarakat tempatan bahkan juga luar negara.
“Di samping itu, dengan adanya acara sebegini, ia juga diharap akan dapat meningkatkan dan memupuk minat generasi muda dalam dunia seni lukis ini sebagai penerus generasi veteran di masa akan datang,” ujar beliau lagi yang juga berkemahiran dalam dunia pertukangan kayu dan besi.
Berkisar pengalaman dunia pengembaraan
Menurut salah seorang artis tempatan seni lukis kontemporari, Pengiran Timbang bin Pengiran Haji Tuah menyatakan bahawa kelainan itu perlu ada dalam menghasilkan sesebuah karya lukisan agar ia memiliki keunikan yang tersendiri dan mampu menarik para pengunjung bukan sahaja dalam negara bahkan juga luar negara.
Beliau yang pernah diundang ke luar negara seperti Jepun, Thailand dan Oman sebagai tenaga pengajar, telah mempamerkan sebanyak 16 buah koleksi karya lukisan sepanjang festival tersebut berlangsung.
“Bertemakan sesebuah pengalaman dalam dunia pengembaraan seperti lukisan berkisar mengenai keadaan bukit-bukau semasa beliau menjalani pengembaraan di Oman,” jelasnya lagi dengan penuh kegembiraan.
Selain itu, Pengiran Timbang juga menghasilkan lukisan yang berkisar suasana pengalaman beliau semasa berada dalam hutan rimba yang dikelilingi dengan cahaya matahari yang memancar menerusi celah-celah pohon yang menghijau.
Beliau yang meminati dunia seni lukis sejak dari kecil lagi ini menjelaskan bahawa seni lukis itu sudah menjadi ibarat darah daging dalam diri beliau yang mana ia sememangnya mampu mewujudkan suatu kepuasan dalam diri yang tidak terhingga. Di samping itu ia juga dapat membawa kepada dunia komersial.
“Bakat semula jadi itu amat penting dalam diri seseorang pelukis melebihi kelulusan-kelulusan tertentu. Ini kerana dengan anugerah bakat alami seni lukis itu, segala coretan atau luahan perasaan akan sentiasa mengalir dalam menghasilkan karya-karya lukisan,” ujarnya dengan penuh ketenangan.
Sehubungan dengan itu, beliau juga berharap dengan adanya acara sebegini, ia dapat mendedahkan kepada masyarakat Brunei khususnya generasi muda betapa indahnya menceburi seni lukis ini yang sememangnya memiliki potensi yang sangat besar dalam sesebuah kehidupan.
Mewarisi bakat seni lukis insan tersayang
Dua buah karya lukisan yang berkonsepkan kehidupan masyarakat di Daerah Tutong telah berjaya dihasilkan oleh Hajah Shamsiah CH Muhammad. Ianya memaparkan seorang perempuan sedang menjual bunga hiasan asli di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong dan juga seorang ayah membawa anak kecilnya bersiar-siar di hadapan Sungai Tutong.
“Bakat ini sememangnya saya warisinya daripada ayah saya. Beliau telah banyak mendidik saya dalam dunia seni lukis ini,” jelasnya dengan senyuman manis.
Bersandarkan ekspresionisme dan impresionisme
Di samping itu, Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Hassanl, juga salah seorang penggiat seni lukis tanah air menjelaskan bahawa kecintaan beliau dalam seni dan alam semula jadi telah mendorong beliau menghasilkan kepingan karya yang berbeza-beza sejak bertahun-tahun lamanya seperti dari patung-patung dan potret ke seni abstrak. Namun apa yang pastinya, semua itu bersandarkan pada ekspresionisme dan impresionisme dengan penggunaan teknik dan kaedah yang tertentu.
“Dunia seni lukis di negara ini semakin terserlah dari semasa ke semasa, malah ia sememangnya setanding dengan karya-karya pelukis yang terdapat di negara-negara luar,” ucap beliau dengan penuh keyakinan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.
Dengan adanya kehebatan himpunan bakat insan-insan seni lukis itu, ia secara tidak langsung dapat memberikan ruang dan sebagai platform kepada para penggiat seni lukis tanah air untuk mengongsikan kemahiran dan pengalaman mereka melalui demonstrasi dan sentuhan karya mereka kepada semua lapisan masyarakat tempatan dan juga pelancong dari luar negara.
Oleh itu, bersamalah kita menghargai setiap seni lukis sebagai salah satu wadah budaya warisan yang amat berpotensi untuk diperkembangkan di persada umum, selain daripada menjadi mata pencarian bagi para penggiat seni tanah air.