AUSTRIA – Pemandangan yang cukup menakjubkan dan memukau di Jalan Tinggi Alpine Grossglockner yang dinamakan sempena gunung tertinggi Austria itu telah mengukir kenangan indah di hati pasangan Herbert Hoegl dan isterinya sejak kali pertama mereka menaikinya.
Namun, 20 tahun kemudian, mereka terkejut apabila melihat satu lagi landskap alp yang khas iaitu glasier Pasterze, yang panjangnya hampir lapan kilometer, telah mengalami perubahan yang ketara.
Pada awal 2000an, medan ais ‘terbentang sehingga ke kawasan yang lebih tinggi di sana dan awda boleh naik lif dan berjalan terus ke Pasterze,’ kongsi Hoegl, pakar IT yang kini berusia 58 tahun.
Sehingga satu juta orang melawat jalan Grossglockner yang indah, yang terkenal dengan 36 selekoh tajam yang berbahaya, dari awal Mei hingga akhir Oktober setiap tahun, mengembara dengan kereta, motosikal atau basikal.
Ia terletak di tengah-tengah taman negara Hohe Tauern yang terkenal dengan pemandangan bukit yang dihiasi dengan bunga liar, hutan yang tebal, air terjun yang menakjubkan dan tasik yang sejuk.
Pihak berkuasa kini telah memperkenalkan had laju untuk melindungi landskap alp yang unik dan pemilik kenderaan elektrik mendapat diskaun yuran akses untuk menikmati laluan sepanjang 48 kilometer itu, di mana penunggang basikal khususnya digalakkan untuk menggunakan laluan tersebut.
Mengikuti laluan lama yang pernah digunakan oleh orang Rom dan Celt, pembinaan Jalan Tinggi Grossglockner bermula pada tahun 1930 dan siap pada tahun 1935, ketika zaman kemerosotan ekonomi yang melampau.
Lebih 3,000 orang penganggur terlibat dalam projek mega ini, dengan tangan mereka mengukir jalan dari gunung berdasarkan reka bentuk oleh jurutera Austria, Franz Wallack.
Jalan itu menghubungkan bandar Bruck berhampiran Salzburg ke puncak Gunung Grossglockner setinggi 3,798 meter dan menjadi salah satu jalan gunung moden pertama yang direka untuk pelancongan bermotor.
Kini, jalan itu turut berfungsi sebagai trek ujian bagi pembuat kereta sport mewah Porsche.
Semangat untuk memulihkan imej Austria selepas kejatuhan Empayar Habsburg, jalan tinggi itu ‘dicipta sebagai simbol status bagi Austria,’ jelas pemandu gunung, Heike Renger.
Pada musim sejuk, laluan itu tidak dapat dilalui akibat salji yang tebal. Pada tahun 1930an, kira-kira 350 pekerja diperlukan untuk membersihkan salji selama 70 hari dengan menggunakan penyodok.
Kini, pengalih salji mengambil masa hanya dua minggu pada musim bunga untuk membersihkan jalan tersebut.
“Usaha pembersihan salji adalah sangat besar sebelum jalan raya boleh dibuka semula pada setiap tahun,” kata pesara dari Bavaria, Juergen Neumann kepada AFP.
Glasier di kawasan alp berkenaan telah mencatatkan kehilangan besar salji pada tahun 2022, disebabkan tahap salji yang sangat rendah pada musim sejuk, musim panas dengan cuaca yang terik dan debu Sahara yang ditiup angin.
Para pakar telah memberi amaran bahawa glasier di Austria akan hilang sepenuhnya menjelang tahun 2075.
Berbanding dengan lawatan terakhirnya, Neumann berkata,’tidak dapat dibayangkan bahawa glasier telah berkurangan dalam tempoh yang singkat iaitu antara 10 hingga 15 tahun’.
Perubahan itu juga diperhatikan oleh Renger yang menyatakan bahawa cuaca panas semakin meningkat dan salji semakin berkurangan, menyebabkan glasier itu mencair lebih cepat.
“Kebelakangan ini, cuaca panas semakin meningkat dan salji kurang, yang menjelaskan mengapa glasier mencair,” kata Renger.
“Walaupun berada pada altitud yang tinggi, suhu tahun lalu melepasi 20 darjah Celsius pada penghujung hari,” tambahnya. – AFP