KUCHING, 4 OGOS – Deruan enjin bot bersulam percikan air sungai yang cetek, menemani perjalanan penulis menelusuri Sungai Melinau dari jeti Taman Negara Mulu, Miri ke Long Litut, iaitu pintu masuk ke laluan hutan menuju Gunung Api atau Pinnacle Mulu, perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer.
Sungai satu-satunya jalan menghubungkan Long Litut dengan dunia luar, malah, kebanyakan lokasi di Taman Negara Mulu ini hanya boleh diakses menerusi perahu yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman itu.
Sesekali kelancaran perahu membelah permukaan sungai terganggu dek kecetekan air, mendedahkan batu-batan besar di dasar.
Ketika ini tenaga pengemudi dengan kasut getah menguatkan cengkaman kaki, si pengemudi menujah dasar sungai menggunakan sebatang kayu panjang sebelum menolak ke depan perahu yang sarat barangan dan penumpang.
Di belakang pula, pengemudi enjin mengawal kemudi agar perahu tidak terlanggar batu-batu besar yang memenuhi laluan.
Bagi yang tidak biasa, pengalaman itu mungkin mendebarkan, tapi bagi penduduk di sekitar Taman Negara Mulu, mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu.
Kawasan seluas 85,671 hektar tersebut merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2000.
Seorang pemandu bot, Donny Andrew, 45, berkata perahu bukan sekadar alat pengangkutan tetapi sebagai nadi ekonomi dan sosial masyarakat di situ.

Selain menjadi pemandu bot, ada masanya beliau mengambil tawaran kerja daripada agensi luar, contohnya hantar pelajar dari Sekolah Kebangsaan Batu Bungan atau SMK Long Panai (Sekolah Menengah Kebangsaan Tutuh Apoh) ke asrama sebab hendak ke sekolah memang perlu naik bot.
“Kalau air deras dan musim bukan kemarau, perjalanan dari jeti taman negara ke Long Litut hanya 30 minit tetapi kalau cuaca terik macam sekarang, memang perlu tarik bot dan ambil masa sekurang-kurangnya satu jam,” katanya sambil membetul-betulkan kedudukan enjin bot kecilnya.
Donny kini melatih anak sulungnya Steve, 23, untuk meneruskan tradisi itu. Sewaktu bot hampir tersangkut di dasar sungai, kedengaran arahan lantangnya dalam bahasa Penan, “Menat alut (Tarik bot)!” kepada si anak agar menarik perahu keluar dari kawasan berbatu.
Pengangkutan air bukan sekadar pelengkap ekopelancongan, tetapi penyambung hubungan antara komuniti tempatan yang majoritinya etnik Penan dan Berawan, dengan dunia luar.
Dalam perjalanan menuju Long Litut, penulis singgah sebentar di Pasar Kraf Tangan Mulu di Kampung Batu Bungan yang digerakkan oleh komuniti Penan yang terkenal dengan hasil kraf tangan tradisional.
Di bawah reruai beratap zink, wanita-wanita Penan tekun menganyam rotan dan menyusun hasil kraf mereka seperti bukui (beg rotan tradisional), sumpit, bakul dan aksesori diperbuat daripada manik untuk dijual kepada pelancong yang datang dari serata dunia.
Menurut pengusaha kraf tangan Julie Nyeling, 46, hasil kraf penduduk di situ turut dipasarkan di luar Sarawak, khususnya Kuala Lumpur, sekiranya ada program atau festival jualan kraf tangan.

“Kami jual setiap hari dan paling ramai pelancong ialah sewaktu cuti sekolah, dan kadang-kadang kami menerima tempahan dari Miri”.
Anggaran pendapatan sebulan lebih kurang RM800,” katanya yang turut mengakui minat dalam kalangan generasi muda terhadap kraf tangan tradisional semakin merosot.
Kakaknya Jabung Nyeling, 50, yang sudah berpuluh tahun menghasilkan kraf tangan, berkata pembuatan beg anyaman rotan memakan masa hampir sebulan untuk disiapkan, mengikut rekaan dan saiz.
“Bukan mudah untuk menghasilkan kraf yang berkualiti, apatah lagi jika mahu mengekalkan teknik pewarnaan tradisional tanpa menggunakan sebarang pewarna tiruan,” jelasnya.
Taman Negara Mulu bukan sekadar kompleks gua, tetapi sebuah sistem geologi hidup di mana bawah permukaan tanah, terbentang jaringan gua batu kapur menakjubkan seperti Gua Rusa, Gua Lang dan Gua Air Jernih, dengan masing-masing mempunyai daya tarikan serta cabaran tersendiri.
Bagi pemandu pelancong tempatan Jason Lau Siew Hui, 43, yang telah berkecimpung dalam bidang itu selama hampir dua dekad, keistimewaan Mulu tidak hanya terletak pada guanya.
“Mulu memang terkenal dengan pembentukan batu kapur yang menakjubkan, sistem gua yang luas dan kepelbagaian biodiversiti.
“Anggaran biodiversiti taman negara ini antaranya 2,000 tumbuhan berbunga, 123 spesies mamalia, 305 spesies burung dan lebih 20,000 serangga dan invertebrata, penyelidikan secara berterusan dilakukan untuk kenal pasti lebih banyak biodiversiti di sini,” katanya yang berasal dari Bintangor.

Selain itu, Jason berkata setakat ini, 10 spesies flora dan enam spesies fauna endemik telah dikenal pasti dan hanya dapat ditemukan di Mulu, menjadikan ekosistemnya bernilai dari segi pemuliharaan.
Pengiktirafan Taman Negara Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut membawa cabaran tersendiri, khususnya sewaktu musim cuaca baik antara Mac hingga Oktober yang menyaksikan peningkatan jumlah pelancong.
“Kadang-kadang agak sukar untuk pastikan semua pelawat patuhi peraturan taman. Kami perlu pantau setiap kumpulan, beri taklimat awal dan hadkan saiz kumpulan semasa lawatan,” jelasnya.

Namun, semua itu bukan penghalang bagi pengunjung yang mahu menyaksikan keunikan jutaan kelawar berterbangan keluar dari Gua Rusa ketika senja, atau menjelajah sistem gua batu kapur yang menakjubkan di dalam perut bumi Taman Negara Mulu. – Bernama

