Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keindahan selawat tanda cinta, qudwah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT — Keindahan berselawat itu umpama menyatakan rasa cinta kepada Baginda Nabi Muhammad SAW selaku qudwah dan penunjuk jalan yang benar serta kekasih Allah SWT yang tiada tandingannya.

    Oleh itu raihlah peluang untuk sama-sama membasahi lidah untuk berselawat agar segala hasrat dan impian dapat dicapai serta mendapat keampunan daripada Allah SWT jua.

    Perkara itu antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustafa dari Masjid Ash Saliheen bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) secara dalam talian, semalam.

    Program tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Unit Kemasyarakatan, Majlis Belia Brunei dari Masjid Ash Shaliheen, Awang Mohammad Ashmeer S/O Imtiaz Ahmad.

    Turut menyertai program berkenaan ialah, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

    Majlis turut diisikan dengan bacaan Asma Al Husna dipimpin oleh Imam Tingkat IV, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Hizbullah bin Haji Mohd Noah dari Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Tutong. Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam kemudiannya dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Zakaria, dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri.

    Acara turut diisikan dengan bacaan Surah Yasin secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria.

    Manakala Doa Munajat pula dipimpin oleh Pegawai Pelajaran (Tarannum), Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama mereka yang menghadiri majlis tersebut secara dalam talian. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda