Oleh Nurdiyanah R.
Jika digarap secara mendalam, makna perkataan seni itu begitu luas. Karya seni adalah ciptaan artistik atau benda estetik.
Meskipun begitu, karya seni juga mencakupi karya-karya sastera, fotografi, seni bina, muzik dan sebagainya. Bagi setiap karya seni yang dihasilkan seseorang artis, ia bukan sahaja memiliki daya tarikan tersendiri bahkan digubah dengan pelbagai kaedah unik.
“Bagi merealisasikan keindahan seni, penggubah seni perlu melakarkannya dengan tersusun, cermat dan teliti supaya karya itu mampu menyejukkan setiap mata yang memandangnya dan menenangkan jiwa seseorang yang menghayatinya,” begitulah ungkapan salah seorang penuntut tahun akhir Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) dalam jurusan Bachelor of Design (Hons) in Professional Design, Awang Hamdani bin Neneng Mulyani, ketika ditemu bual penulis sempena Pameran Seni VIBE dan Minggu Media 2023 KIGS ke-13 di kampus kolej berkenaan di Kiulap, pada pertengahan bulan Februari lalu.
Awang Hamdani, yang memiliki tajuk karya di bawah nama HEST, menerangkan bahawa nama berkenaan diambil daripada perkataan House atau Nest dengan tujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya mempertahankan dan menjaga sebaik-baiknya rumah-rumah lama atau antik agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Beliau menggunakan bahan-bahan berasaskan kitar semula iaitu kotak terbuang dan memerlukan masa sekitar empat bulan untuk menyiapkan karya binaan berkenaan.
Menurut beliau, salah satu perkara yang perlu dititikberatkan ialah aspek ketelitian dalam memilih dan mengumpul kotak-kotak yang masih boleh dikitar semula sebelum merangka struktur-struktur potongan yang dihasratkan.
“Kesabaran itu mesti sentiasa disemai dalam diri demi menghasilkan karya yang kemas.
“Semasa proses pembuatan rumah tersebut, pastinya berlaku kesilapan-kesilapan dan juga halangan seperti salah sukatan, kotak yang tidak dapat diguna pakai dan sebagainya. Namun saya bersyukur akhirnya saya berjaya menghasilkan dan menyiapkannya dari asas sehingga menjadi satu karya sebagai projek akhir saya,” ucapnya penuh kesyukuran.
Sementara itu, sebuah projek berjudul Reminisce telah menjadi karya ciptaan Awang Muhammad Syahmi Aiman bin Yusof, juga seorang penuntut tahun akhir dalam jurusan Bachelor of Design (Hons) in Professional Design di KIGS. Karya beliau antaranya menyentuh mengenai detik mengimbas kembali kenangan masa lalu.
Dengan menggunakan bahan utama iaitu papan kayu dan proses pembuatannya menggunakan konsep laser cut printing, beliau menjelaskan sumber bahan kayu menjadi pilihan disebabkan ianya mudah memberikan nilai nostalgia tersendiri ditambah lagi dengan pancaran cahaya lampu mampu membawa seseorang menyelami detik-detik kenangan yang dilakar pada papan kayu tersebut.
“Jika diamati, karya saya ini mempunyai tiga panel, setiap panel menceritakan tentang kenangan setiap individu seperti bulan puasa, kenangan zaman kanak-kanak dan suasana pertama kali belayar ke luar negara.
Bayangan-bayangan yang terpapar di panel-panel itu tidak jelas yang membawa maksud bahawa nilai kenangan itu pastinya akan hilang atau lenyap secara perlahan-perlahan.
Oleh itu, adalah amat penting kita menghargai setiap detik kenangan dalam kehidupan sehari-hari,” ujar Awang Muhammad Syahmi.