Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Jika terdapat kuiz yang menyatakan mengenai sebiji buah bewarna hitam putih atau sedikit kekuningan isinya selepas dikikis dan sedia untuk dimasak, pasti terlintas di fikiran akan buah Kembayau.
Buah tempatan itu dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Canarium Odontophyllum namun ia juga dipanggil sebagai Dabai atau Daba di Kepulauan Borneo.
Bagi orang luar pula, ia dikenali sebagai Zaitun Sarawak, di mana ia mempunyai banyak cabang dan tumbuh subur di kawasan berbukit.
Pokok Kembayau mampu mengeluarkan di antara 30 hingga 80 kilogram buah atau tertakluk kepada tempoh matangnya dan boleh ditanam dengan biji benih.
Buah tersebut sangat mudah disediakan iaitu dengan hanya merendamnya dalam air panas.
Rasa buah bermusim sebesar ibu jari ini masam, manis dan berlemak. Namun untuk menambahkan perisa buah yang sudah masak, bolehlah ditaburkan dengan sedikit garam atau gula sebelum dimakan.
Ada pula yang gemar makan cicah dengan kicap manis dan enak dimakan bersama nasi.
Kini terdapat cara berbeza untuk menikmati buah Kembayau ini, antaranya dengan memakannya begitu saja, dimakan bersama nasi atau menjadikannya menu Nasi Goreng Kembayau yang kini menjadi permintaan ramai di beberapa buah restoran.
Namun, ada juga yang menyediakannya dengan memasak sekali lagi buah Kembayau ini dengan menumis untuk dijadikan sambal nasi.
Ia dicampur dengan ikan pusu untuk dijadikan lauk makan tengah hari atau malam.
Di sini penulis ingin mengongsikan resepi yang boleh dicuba bagi mempelbagaikan lagi cara untuk memakan buah Kembayau.
Bahan-bahan yang diperlukan ialah dua gayung atau setengah kilo buah Kembayau, lima ulas bawang Bombay atau bawang merah, dua ulas barang putih, halia sebesar ibu jari, empat hingga lima tangkai cili kering (rendam cili sampai kembang), lima biji lada padi, pusu mengikut cita rasa masing-masing, secubit belacan, sos tiram, garam dan Ajinomoto, gula pasir atau serbuk stok ayam, minyak untuk mengoreng.
Cara ini juga memerlukan buah Kembayau direndam terlebih dahulu dengan air panas dan semua bahan-bahan yang lainnya dihiris atau ditumbuk halus manakala cili kering pula perlu dikisar.
Kemudian panaskan minyak, goreng pusu sehingga garing, angkat dan ketepikan dahulu lalu tumis bahan yang dihiris atau ditumbuk tadi sehingga naik bau dan masak.
Langkah seterusnya ialah memasukkan sos tiram, stok ayam, garam, perisa atau gula mengikut cita rasa masing-masing. Masukkan pusu yang digoreng dan Kembayau dan gaul dengan memperlahankan api dan dibiarkan sambal tadi sebati dengan Kembayau.
Cara ini seakan sama dengan penyediaan sambal nasi lemak atau Nasi Katok di mana hanya perlu mencampur buah Kembayau bagi mendapatkan rasa lemak buah Kembayau.