STYKKISHOLMUR, ICELAND – Di sebuah pulau terpencil di Teluk Breidafjordur di luar pantai barat Iceland, kerja-kerja mencari bulu itik eider bermula, bulu yang digunakan untuk menghasilkan beberapa duvet dan kuilt terbaik di dunia, satu tradisi berusia 1,000 tahun.
Bulu kapas yang dipilih khas itu dijual dengan harga ribuan euro satu kilo, memenuhi permintaan mereka yang mencari produk eksklusif.
Setiap musim panas, hampir 400 petani Iceland menggeledah di permukaan cetek dalam batu-batuan, di pasir atau di rumput tinggi untuk mencari beberapa bulu kelabu itik kutub ini. Mulai bulan Mei, itik eider datang untuk bertelur di kawasan laut yang jarang berpenghuni di sebahagian besar pantai Iceland di mana terdapatnya rumpai laut untuk diberi makan kepada anak itik.
“Apabila terdapatnya telur, kami hanya mengambil sebahagian daripada bulu kapas. Dan apabila itik eider telahpun meninggalkan sarang, kami mengambil segala-galanya,” beritahu Erla Fridriksdottir, ketua King Eider, salah satu pengeksport utama negara, kepada AFP.
Eider, itik laut dari lautan separa Artik, meninggalkan warisan di belakang yang terdiri daripada harta karun semula jadi: iaitu salah satu gentian semula kaji paling panas di planet, ringan dan mempunyai ciri-ciri penebat amat tinggi.
Itik betina, dengan bulu warna perang gelap bersama jalur hitam, adalah sama dengan itik melewar tetapi lebih besar, mengeluarkan bulu kapas daripada dada dan melapik sarang dengan bulu halus tersebut untuk melindunginya daripada cuaca sejuk semasa inkubasi.
Kira-kira 60 sarang diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram bulu kapas – satu kuilt memerlukan di antara 600 dan 1,600 gram, bergantung pada kualiti yang dipilih.
Di seluruh dunia, penghasilan bulu itik eider tahunan adalah kira-kira empat tan, tiga suku di antaranya datang dari Iceland, pengeluar terbesar dunia setakat ini, di depan Kanada dan negara lain yang bersempadan dengan Artik.
Terdapat lima buah syarikat di Iceland yang mengeksport bulu itik eider, menurut Persatuan Penternakan Itik Eider, namun kira-kira 15 syarikat pada keseluruhannya yang terbabit dalam penghasilan bulu tersebut. Di pulau Bjarneyjar, tradisi mencari sarang yang ditinggalkan telah diwarisi selama beberapa generasi.
Amalan tempatan itu dikatakan telah bermula di Iceland ketika puak Viking dari Norway menetap di pulau berkenaan pada akhir abad ke-19.
Sejak 1847, bulu eider telah dilindungi sepenuhnya di Iceland, di mana kegiatan memburu dan mengambil telurnya dilarang sama sekali.
Namun ia masih berdepan ancaman kerana pemangsa seperti burung camar, burung gagak, burung helang, mink dan rubah memakai itik laut atau telur haiwan berkenaan.
“Kami rasa itik suka membuat sarang mereka dekat dengan kami, di mana kami tinggal,” beritahu Jon Fridriksson, adik Erla, kepada AFP, menambah ia mungkin merupakan satu strategi untuk menghalau pemangsa. Sebaik sahaja diambil bulu eider, ia dikeringkan di tempat terbuka supaya tidak terbentuk kulapuk. Kemudian pekerja Fridriksdottir memulakan peringkat pertama mensteril dan membersihkan bulu eider dalam ketuhar besar pada suhu 120 darjah Celsius selama lapan jam.
“Apabila bulu kapas datang ke sini, kebanyakannya dipenuhi dengan rumput, kulit telur dan segala benda dari laut…dan kami meletakkannya dalam ketuhar untuk membunuh sebarang organisma dan suhu tinggi berkenaan juga menjadikan rumput rapuh,” beritahu Pall Jonsson, bertanggungjawab mengendalikan mesin di bengkel di bandar berhampiran Stykkisholmur, kepada AFP.
Dalam peringkat kedua, mesin yang berputar mengeluarkan kotoran daripada bulu eider dengan menekannya di atas jaringan wayar nipis.
Sebagai sentuhan terakhir, tangan pakar – yang tidak dapat diganti oleh teknologi untuk proses ini setakat ini – menjalankan satu lagi pembersihan yang menyeluruh.
Malah bagi yang paling berpengalaman, ia mengambil masa empat hingga lima jam untuk mencuci satu kilogram bulu eider dengan tangan.
Akhirnya, bulu kapas eider itu dicuci dengan air dan dibasmi kuman, sekali lagi dengan tangan, sebelum dibilas dan dikeringkan.
Sementara terkenal di mata dunia, penghasilan bulu eider tidak memberikan kesan kepada jumlah pengeluaran bulu eider di dunia, dianggarkan pada 175,000 tan setahun, menurut Biro Bulu Kapas dan Bulu Eider Antarabangsa.
Menurut undang-undang Iceland, bulu eider mesti lulus kawalan kualiti yang ketat sebelum dijual, justeru memastikan kebersihan, bau, warna serta konsistensi. “Anda harus mampu mengangkat 40 hingga 50 gram bungkusan di antara dua jari dan jika ia masih dalam keadaan baik dan tidak terjatuh keluar, maka ia merupakan bulu eider yang berkualiti baik,” jelas Asgeir Jonsson, salah seorang pemeriksa.
Selain keunikannya, pengeluaran bulu eider – daripada pengumpulan manual kepada proses pembersihan – membantu menjelaskan harganya yang mahal. Satu helai duvet biasa yang mengandungi 800 gram bulu dijual dengan harga 640,000 kronur Iceland (AS$5,116). “Pelanggan kebanyakannya terdiri daripada pencinta alam sekitar dan mereka yang prihatin mengenai alam sekitar,” kata Fridriksdottir.
“Ia satu-satunya yang dikumpul dan diproses, bulu kapas lain selalunya merupakan produk sampingan industri makanan,” tambah Fridriksdottir, dengan perniagaan kecil-kecilannya kebanyakannya dieksport ke Jerman dan Jepun. – AFP