Oleh Lenna N.B.
BAU asap dan arang, sudah menjadi kebiasaan. Peluh-peluh di dahinya seakan mengimbas kembali zaman neneknya, yang juga pernah bekerja sepertinya.
Dia menterbalikkan batang sate, di atas bara api yang panas. Setiap pelanggan yang datang singgah ke gerai jualan beliau adalah umpama hadiah yang sangat berrnilai baginya. Hari ini, beliau bersyukur, dapat membawa pulang beberapa puluh ringgit. Hujung bulan, hasil keuntungan yang diterima adalah lebih berlipat ganda. Wajah nenek sentiasa terbayang. Inilah perniagaan warisan sejak zaman datuk lagi.
“Satay Warisan ini sebenarnya sudah mula diusahakan sewaktu di zaman datuk, sekitar tahun 1980an, yang kemudiannya diteruskan oleh nenek, ayah dan adik-beradiknya. Saya adalah generasi keempat yang meneruskan perniagaan ini.
Pada dulunya, saya hanya ikut dan menemani nenek berniaga di Pasar Malam,” ujar Awang Mohammad Fakhruddin bin Mohammad Khairul Azmi, 22, membuka cerita mengenai sejarah Satay Warisan.
Kenangan bersama nenek
Menurut Awang Mohammad Fakhruddin, beliau kurang pasti mengenai sejarah datuknya bermula dalam perniagaan sate ini. Apa yang diketahui adalah datuknya telah berniaga di kawasan Sungai Kianggeh, yang kemudiannya diwarisi oleh neneknya, Haji Abdul Rahman.




Dari hanya menjalankan perniagaan di sebuah gerai di Sengkurong, di hadapan Masjid Sharif Ali, berpindah ke Pasar Malam dan restoran Soto Haji Saban.
Menggunakan nama ‘Satay Warisan HMD’ sudah cukup melambangkan bahawa perniagaan ini adalah khazanah warisan keluarga.
Perkataan ‘HMD’ itu sendiri dipetik daripada singkatan nama datuknya, Haji Mohammad Daud. Pada masa ini, selain Awang Mohammad Fakhruddin yang meneruskan perniagaan datuknya, ibu saudara beliau juga membuka perniagaan yang sama di Mengkubau sebagai, satu cawangan Satay Warisan HMD.
“Saya sejak sekolah rendah lagi, menemani arwah nenek berdagang. Dalam tahun 2008, kira-kira sembilan tahun yang lalu, barulah saya mula berdagang sendiri, tetapi masih mengekalkan rempah resepi nenek. Setiap kali balik sekolah, saya akan terus ke restoran Soto Haji Saban untuk berniaga.”
Walaupun zaman bersama nenek beliau telah berlalu, tetapi Awang Mohammad Fakhruddin tidak pernah lupa detik manis berniaga bersama neneknya. Menurutnya, neneknya adalah seorang yang prihatin dan suka memberi nasihat.
Berkursus di PPB
Demi mencapai cita-cita untuk memperkembangkan perniagaan Satay Warisan HMD, pada tahun 2013, Awang Mohammad Fakhruddin telah mengikuti pengajian di Pusat Pembangunan Belia (PPB) di bawah kursus Culinary Arts and Banquet di mana beliau belajar mengenai kemahiran industri pembuatan makanan, memperluaskan kemahiran di bidang dapur serta pengetahuan ilmu usahawanan.
“Tujuan saya mengikuti pengajian di PPB sebenarnya adalah atas niat untuk meneruskan perniagaan nenek. Mungkin dengan pengalaman bersama PPB, saya dapat memperkembangkan kemahiran saya. Saya tamat pengajian dalam tahun 2014, dan sepanjang mengikuti pengajian di bawah PPB, saya pernah mengikuti acara Brunei Halal di Pusat Persidangan Antarabangsa, selaku tukang masak produk mereka dan seterusnya, inovasi penciptaan makanan dengan menggunakan produk kacang soya MotherSoy RBC. Banyak lagi antara percapaian saya bersama PPB yang membantu untuk memperkembangkan pengalaman industri permakanan tanahair,” jelas Awang Mohammad Fakhruddin.




Berniaga dan bekerja
Awang Mohammad Fakhruddin kini sedang bekerja sebagai pembantu dapur di Polo RBC. Pada masa yang sama, di luar waktu bekerja, beliau berdagang sate di satu ruang dalam sebuah restoran.
Melihat akan sifat rajin dan usahanya yang jitu, ternyata Awang Mohammad Fakhruddin seorang belia yang gigih berusaha.
Beliau menggunakan kesempatan yang ada untuk mencari pendapatan hidup. Walaupun di luar waktu berkerja, beliau sepatutnya beristirehat, tetapi sebaliknya menggunakan waktu-waktu yang kosong itu sebagai ruang untuk berniaga.
“Sebenarnya sebelum PPB pun, saya pernah bekerja sebagai pembantu dapur. Saya memang tidak mahu lari daripada bidang dapur kerana mempunyai rancangan untuk membawa pembaharuan terhadap Satay Warisan HMD ini. Setakat ini, kami masih mengekalkan resipi datuk, tapi InsyaAllah, bila cukup ilmu dan pengalaman, ada inovasi sate yang akan saya lakukan.”
Di sebalik penyediaan sate
Proses penyediaan sate secara keseluruhannya merangkumi empat langkah utama. Pertama, proses memotong bahan-bahan sate, seperti daging, ayam, kambing, urat dan sebagainya. Kedua, proses perapan rempah yang mengambil masa selama kira-kira tiga hingga empat jam. Ketiga, proses menyucuknya kepada batang sate yang mempunyai kepanjangan kira-kira 15 sentimeter dan keempat, proses membakar ataupun menyalai.
“Antara kerja yang agak sukar adalah semasa menyucuk ke batang sate kerana ada kalanya ia boleh menyebabkan tangan berasa sakit atau sengal,” tambah Awang Mohammad Fakhruddin ringkas.
Menurutnya, memandangkan ia adalah perniagaan yang diwarisi keluarga sejak zaman datuk lagi, kadangkala ada antara pelanggan mengenali Satay Warisan, sambil mengimbas kembali kenangan dulu bersama nenek dan datuk beliau.




Antara yang sering diperkatakan adalah kuah kacang yang menjadi pelengkap kepada hidangan sate. Jika waktu ramai pelanggan, dalam sehari, sejumlah 500 hingga 600 cucuk sate telah terjual, malah ia juga boleh mencapai lebih daripada 2,000 cucuk sate.
“Itulah seronoknya berniaga sate. Walaupun ada waktu-waktunya tidak ramai orang, tetapi bila tiba hujung bulan atau awal bulan, pelanggan tidak berhenti daripada terus membeli. Gembira dan bersyukur bila melihat Satay Warisan Datu masih diminati dan setentunya menjadi pembakar semangat untuk bagi saya untuk terus berniaga. Apatah lagi berhadapan dengan pelbagai latar pelanggan,” jelas Awang Mohammad Fakhruddin.
Harapan dan cita-cita
Awang Mohammad Fakhruddin seperti anak muda yang lainnya, mempunyai cita-cita yang berkobar-kobar ingin dicapainya.
Beliau menyimpan impian untuk membuka restoran suatu hari nanti, yang juga menjadi platform penerus Satay Warisan.
Setakat ini, menimba pengalaman dan meluaskan pengetahuan di bidang dapur adalah perkara utama yang perlu diperkembangkan, di mana kemudiannya ia dapat dimanfaatkan apabila membuka sebuah restoran nanti.
Begitulah inspirasi belia, Awang Mohammad Fakhruddin, belia yang kental berusaha, demi harapan dan cita-citanya.