BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Ayat Al-Kursi mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan. Perkara ini ada disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW iaitu yang pertama tidak akan terhalang untuk memasuki syurga dan yang kedua adalah sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Kelebihan dan Keistimewaan Ayat Kursi, hari ini.
Dalam pada itu, khatib turut menjelaskan bahawa Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW dan kitab itu juga mengandungi pengajaran untuk setiap aspek kehidupan.
Al-Quran bukan sahaja menyentuh perkara kerohanian dan akhirat, bahkan ia juga kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi. Sesungguhnya Al-Quran berperanan sebagai cahaya petunjuk dalam menempuhi kehidupan dunia, melaluinya kita dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil.
Selain itu, khatib juga menyentuh mengenai Kitab Al-Quran yang juga membawa rahmat kepada manusia, menjadi penawar kepada penyakit rohani dan jasmani, menjadi penawar dalam kehidupan serta membentuk akhlak yang mulia.
Jelas beliau, inilah kemuliaan Al-Quran, bukan sahaja memberi manfaat kepada kita di dunia bahkan juga di akhirat, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Umamah Al-Bahili RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya, “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.”


Beliau turut menekankan di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu dalam Surah Al-Baqarah, yang mana ada satu ayat yang dinamakan sebagai Ayat Al-Kursi. Rasulullah SAW menyebutkan dalam hadis Baginda bahawa Ayat Al-Kursi merupakan ayat yang paling agung di dalam kitab Allah.
Di samping itu, terdapat sebuah kisah menarik dalam kitab sahih Bukhari mengenai Ayat Al-Kursi, yang mana daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, “Rasulullah SAW mewakilkan kepada aku untuk menjaga zakat Ramadan. Lalu datang kepada ku seseorang dan menyelongkar makanan lalu mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata,“ Demi Allah! Aku akan membawa mu kepada Rasulullah SAW.” Dia berkata,
“Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.” Abu Hurairah berkata, “Aku melepaskannya.”
“Ketika pagi hari, Nabi SAW bertanya, “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku berasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.” Baginda bersabda, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepada mu dan dia akan kembali.”
“Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata, “Sesungguhnya aku akan membawa mu kepada Rasulullah SAW.” Dia berkata, “Lepaskanlah aku!
Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan dan melepaskannya.
“Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepada ku, “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.” Baginda bersabda,” Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepada mu dan dia akan kembali.”
“Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata, “Sesungguhnya aku akan membawa mu kepada Rasulullah SAW, dan ini ketiga kalinya engkau menyatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.” Dia berkata, “ Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepada mu beberapa kalimah yang akan memberi manfaat kepada mu di sisi Allah.”
“Aku menjawab, “Apakah kalimah itu?” Dia berkata, “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat Al-Kursi, yang mana maksudnya “Allah, tiada tuhan yakni yang berhak disembah melainkan dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbir yakni sekalian makhluk. Sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat.
Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah SWT dan engkau juga tidak didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.” Maka aku melepaskannya.
“Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepada ku, “Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Dia mengaku, dia mengajar ku beberapa kalimah yang Allah SWT menjadikannya bermanfaat bagi ku, maka aku melepaskannya. Baginda bertanya,” Apakah itu?” Aku berkata, “Maka bacalah ayat dari awal sehingga akhir ayat (ayat Al-Kursi).
“Dia berkata kepada ku, “Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah SWT dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi. Nabi SAW bersabda, “Adapun apa yang dikatakan olehnya kepada mu itu adalah benar, walaupun dia adalah seorang pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Huirairah menjawap,”Tidak.” Baginda bersabda, “Itulah syaitan.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Di akhir khutbah, khatib turut menekankan bahawa sesungguhnya kisah itu memberi pengajaran penting tentang kelebihan dan manfaat membaca ayat Al-Kursi yang mana boleh digunakan untuk kebaikan dan perlindungan dengan izin Allah SWT jua.

