Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keistimewaan kopi tenggek Pontian

    Meskipun kedai Kopi Tenggek terletak 25 kilometer (km) dari pusat bandar di sini, namun premis itu sentiasa dipenuhi penggemar minuman itu dari luar daerah ini termasuklah pengunjung bukan bangsa Johor.

    Pemiliknya Ghazaliey Ayiub, 55, berkata secara purata kedainya menerima 300 pelanggan pada hari bekerja manakala lebih 600 pada hujung minggu sekali gus menjana pendapatan lumayan kepada beliau.

    “Alhamdulillah. Saya tidak menyangka ia boleh laris sebegini sehinggakan pelanggan dari luar Johor juga sanggup datang dari jauh untuk mencuba sendiri Kopi Tenggek,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya yang terletak kurang 5km dari Taman Negara Tangjung Piai, dekat sini.

    ‘Tenggek’ bermaksud duduk di tempat tinggi sekali gus menggambarkan sinonimnya nama kedai tersebut melalui cara minuman itu dihidangkan dengan bekas penapis yang berisi 10 gram serbuk kopi diletakkan di atas permukaan gelas, kemudian air panas bersuhu 97 darjah celsius dituangkan ke dalam bekas penapis itu.

    Menerusi keunikan konsep kedai kopinya itu, anak jati Pontian itu berkata ia berjaya memikat hati penggemar kopi kerana kebanyakan pengunjung menyukai sesuatu perkara yang kreatif atau ‘di luar kotak’.

    Pekerja kedai, Ainun Hajar Kamaruddin, menyiapkan air Kopi Tenggek yang dipesan pelanggan ketika tinjauan Bernama di kedai Kopi Tenggek, Tanjung Piai baru-baru ini. – Bernama
    Pekerja kedai, Nurul Izzah Mohd Tahir menunjukkan Kopi Tenggek dan Roti Kukus yang merupakan menu utama kedai Kopi Tenggek ketika tinjauan Bernama di Tanjung Piai baru-baru ini.
- Bernama

    “Kebiasaannya, rata-rata kedai menghidangkan minuman ini dengan serbuk kopi di bawah tetapi di Kopi Tenggek serbuknya diletakkan di atas. Sebelum ia boleh diminum, pelanggan akan tengok proses air kopi itu menitik.

    “Ini yang menarik perhatian mereka dan dengan adanya media sosial, Kopi Tenggek menjadi semakin tular apabila para pelanggan membuat hantaran dan dikongsikan di platform itu sehingga lebih dikenali,” kata pemilik kedai itu yang mempunyai Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

    Bercerita lanjut, Ghazaliey berkata idea itu tercetus semasa melancong ke Saigon, Vietnam beberapa tahun lepas apabila melihat ramai pembonceng motosikal di negara itu menjual kopi menggunakan kaedah yang sama.

    Bekas penolong pengurus sebuah syarikat barangan elektronik itu berkata beliau turut melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan sebelum memulakan perniagaan itu pada 2018 bagi memastikan kualiti terjamin selain perancangan strategi pemasaran.

    Ditanya mengenai hasrat untuk memperluaskan Kopi Tenggek, Ghazaliey berkata perkara itu dalam perancangan termasuk mengembangkan perniagaannya ke negeri lain dan peringkat antarabangsa.

    Sementara itu, seorang pelanggan Nurul Farah Rahman, 28, berkata sebagai penggemar kopi, beliau amat menyukai kelainan di kedai Kopi Tenggek kerana ia amat jarang ditemui di tempat lain.

    “Saya datang bercuti ke Johor Bahru untuk melawat sepupu. Jadi, saya bersama keluarga ambil peluang untuk merasai Kopi Tenggek sebab tengok viral dalam media sosial malah ramai juga yang cadangkan. Memang rasanya pun sedap dan berbaloi,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

    Kopi Tenggek turut menjual pelbagai minuman lain serta aneka makanan dengan harga berpatutan seperti nasi goreng, nasi arab, keropok lekor dan roti kukus yang menjadi pilihan utama pelanggan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda