Tidak disangka-sangka peristiwa anak tertumpah pengilat kuku di sebuah butik berjenama pada April lalu membawa tuah buat penyanyi Malaysia, Tomok.
Memetik daripada mStar, susulan kejadian itu, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 39, mendapat tajaan pakaian daripada jenama Levi’s sempena konsert New Boyz Live In Singapura pada 9 September ini.
“Memang tak sangka dapat panggillan daripada sebuah jenama antarabangsa. Bukan senang nak dapat tajaan begini.
“Mereka hubungi saya kira-kira dua minggu lalu dan saya sendiri kumpulkan anggota kumpulan untuk ambil barang tajaan,” katanya dihubungi mStar pada Isnin.
Tomok terdahulu berkongsi video dia bersama rakan-rakan New Boyz mengunjungi butik jenama berkenaan di pusat membeli belah The Gardens, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Jenama tersebut bersetuju memberi dua set persalinan setiap seorang termasuk baju, seluar dan jaket.
Bersyukur dengan tajaan berkenaan, Tomok tidak melepaskan peluang memilih koleksi khas jenama itu.
“Saya pilih koleksi jeans dari Jepun. Memang rare dan susah nak dapat. Terima kasih kerana sudi taja kami.
“Mereka tidak meletakkan sebarang had harga ketika kami datang memilih. Mereka bagi kebebasan memilih,” ujar Tomok.
Pada April lalu, Tomok terpaksa membayar sebanyak RM5,593 selepas anak perempuannya tidak sengaja menumpahkan pengilat kuku pada baju dan seluar di butik berkenaan.
Tomok bagaimanapun menjual semula pakaian yang dibeli itu dan habis dijual dalam masa 24 jam menerusi sesi live di laman Instagram. – Agensi