Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal karam Indonesia ragut 15 nyawa, 19 lagi hilang

    JAKARTA, 24 JULAI – Sebuah kapal penumpang yang terlebih muatan terbalik di pulau Sulawesi, Indonesia, membunuh kira-kira 15 orang dan menyebabkan 19 lagi hilang, kata penyelamat hari ini.

    Kapal itu dalam perjalanan dari kampung Lanto di Kabupaten Buton Tengah di wilayah Sulawesi Tenggara ke kampung Lagili berdekatan apabila ia terbalik sejurus tengah malam semalam, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Muhammad Arafah.

    Kapal kayu itu membawa 40 penumpang tetapi direka untuk hanya 20 orang.

    Pasukan penyelamat hari ini mencari 19 orang yang masih hilang dalam laut bergelora, manakala 15 mayat telah ditemui dan enam orang telah diselamatkan, kata Arafah.

    Tiga bot kembung, dua bot nelayan dan enam penyelam dikerahkan untuk mencari mangsa yang hilang, tambahnya.

    Beribu-ribu penduduk pulang ke kampung untuk menyambut ulang tahun kesembilan kabupaten (daerah) itu kelmarin dan ramai orang menaiki bot nelayan atau penumpang.

    Berita televisyen menunjukkan rakaman orang ramai mengambil mayat dalam kegelapan semalaman dan saudara-mara bersedih menunggu maklumat di pelabuhan dan hospital tempatan.

    Indonesia adalah sebuah kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan feri adalah satu bentuk pengangkutan biasa. Dengan piawaian keselamatan yang tidak ketat dan masalah kesesakan, kemalangan kerap berlaku.

    Pada tahun 2018, sebuah feri yang sesak dengan kira-kira 200 orang di dalamnya karam di sebuah tasik di wilayah Sumatera Utara, mengorbankan 167 orang.

    Dalam salah satu bencana yang paling teruk direkodkan di negara itu, sebuah kapal penumpang yang sesak karam pada Februari 1999 dengan 332 orang di dalamnya. Hanya 20 orang yang terselamat. – AP

    Penduduk dan anggota agensi mencari mangsa yang terselamat selepas feri yang sarat muatan terbalik di pulau Sulawesi Indonesia, tengah malam semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda