Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejar impian untuk berbakti kepada negara

    Oleh Sim Y.H. –

    Keinginan untuk mengejar impian menjadi seorang doktor dan dorongan daripada bukan sahaja kedua-dua ibu bapa, tetapi juga abangnya yang merupakan seorang penerima biasiswa kerajaan ke luar negara telah memberikan inspirasi kepada Adrian Chong Rui Sern untuk tekun belajar dan mencapai keputusan cemerlang sehingga beliau terpilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa Khas Dalam Negeri ke Sekolah Antarabangsa.

    Adrian Chong dalam temu ramah bersama Media Permata semasa majlis penganugerahan biasiswa berkenaan, baru-baru ini, menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas penganugerahan biasiswa yang setentunya memberi dorongan kepadanya dan para penerima lain untuk terus berusaha menuju ke tahap pengajian yang lebih tinggi dan membantu mereka memulakan perjalanan ke arah destinasi hidup mereka seterusnya.

    Beliau berkata bahawa abangnya yang merupakan salah seorang penerima biasiswa berkenaan, menjadi motivasi bagi dirinya untuk berusaha mencapai keputusan cemerlang supaya dapat menerima biasiswa yang serupa bagi melanjutkan pengajian ke sekolah antarabangsa.

    Menurutnya, apabila menerima panggilan bahawa dirinya merupakan salah seorang penerima biasiswa itu, Adrian Chong menyatakan amat gembira dan teruja untuk memulakan perjalanan pembelajaran yang baharu di sekolah antarabangsa dan berkenalan dengan rakan sekolah yang baharu.

    Biasiswa ini, ulasnya, memberikannya motivasi untuk terus berusaha mencapai impiannya dan memberikannya pengajaran bahawa ketekunannya dalam pembelajaran akan membuahkan hasil serta segala usahanya itu tidak sia-sia.

    Adrian Chong bergambar bersama ibu bapanya yang banyak memberikan dorongan kepadanya. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Dayang Najwa Batrisha menyatakan bahawa arwah ayahnya merupakan inspirasi dan pendorong baginya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Para penerima biasiswa bergambar ramai. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Adrian Chong menyatakan lagi bahawa beliau amat teruja untuk melanjutkan pengajian di sekolah antarabangsa di mana ia akan memberikannya peluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan acara yang bukan sahaja akan mematangkan dirinya, tetapi juga akan memberikannya keyakinan untuk menghadapi cabaran, membina kekuatan dalam kemahiran kehidupan dan akademiknya.

    Semua itu, jelasnya, akan mempersiapkannya untuk mencapai keputusan yang cemerlang supaya dapat bergerak maju dalam langkah kehidupan seterusnya iaitu untuk meneroka bidang perubatan serta mencapai impiannya untuk menjadi seorang doktor yang akan berkhidmat untuk negara dan masyarakat.

    Baginya, setiap cabaran yang dilalui bukanlah satu halangan tetapi lebih melihatnya sebagai peluang untuk lebih memahami cabaran itu dan berusaha untuk lebih bersedia bagi menempuhnya serta mengatasinya di masa akan datang.

    Adrian Chong berkata lagi bahawa pengajian di sekolah antarabangsa memberikannya peluang untuk bukan sahaja menumpukan kepada membina pengetahuan secara akademik, tetapi juga meningkatkan keupayaan secara mental dan fizikal.

    “Ia akan membina kualiti-kualiti yang amat mustahak seperti disiplin, hormat-menghormati dan daya tahan.”

    “Semua orang harus memahami bahawa untuk mencapai sesuatu, kita harus mempunyai kualiti-kualiti ini. Oleh itu, biasiswa ini mengandungi banyak aspek dan faktor yang menyumbang kepada pelajar-pelajar dalam mencapai apa yang mereka inginkan.”

    Sementara itu, penerima Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negara, Dayang Najwa Batrisha binti Zul-Fadliy yang melanjutkan pengajiannya ke University of Glasgow dalam bidang Genetik merakamkan perasaan amat bersyukur kepada kerajaan Baginda Sultan atas penganugerahan biasiswa kepadanya dan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan serta ilmu kehidupan di mana semua itu akan dibawa kembali ke Brunei akan datang.

    Semua pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya itu, tambahnya, akan dapat membantu negara untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Pengajiannya dalam bidang genetik akan menambah lagi bidang ilmu yang dapat disumbangkan kepada negara khususnya kepada bidang kesihatan dengan perkembangan pesat teknologi genetik.

    Selain itu, sebagai seorang penerima biasiswa kerajaan ke luar negara, beliau memahami akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya. Oleh itu, Dayang Najwa Batrisha menyatakan hasrat untuk menjadi wakil negara yang baik sepanjang pengajiannya dan berharap untuk membawa kembali semua pengalaman yang diperolehnya untuk membantu negara.

    Menyentuh mengenai inspirasi yang mendorongnya sehingga menjadi salah seorang penerima biasiswa melanjutkan pengajian ke luar negara, Dayang Najwa Batrisha berkata bahawa arwah ayahnya yang pernah belajar di luar negara memberikannya keinginan untuk mengikuti jejak langkahnya.

    Beliau berkata bahawa arwah ayahnya sentiasa menceritakan kepadanya mengenai pengalamannya menuntut di luar negara dan peluang untuk menimba ilmu serta mengembara ke seluruh dunia merupakan salah satu pengalaman yang banyak membantu mematangkan dirinya.

    Segala cabaran yang dilalui oleh arwah ayahnya seperti tinggal di luar negara tanpa keluarga atau sahabat yang dikenali, jelasnya, walaupun amat menyukarkan tetapi semua pengorbanan itu amat berbaloi untuk mengejar cita-cita dan impian belajar sesuatu yang kita minati.

    “Saya amat meminati bidang genetik dan penganugerahan biasiswa ini amat bermakna bagi saya kerana saya boleh menimba ilmu sesuatu yang saya minati dan membawa balik semua itu ke Brunei.”

    Dayang Najwa Batrisha berkata bahawa melanjutkan pengajiannya ke luar negara merupakan satu impian baginya tetapi berbakti untuk negara yang dicintai, Brunei Darussalam merupakan sesuatu yang lebih bermakna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda