SYDNEY, 1 OGOS – Sekumpulan warga Australia meraikan kejayaan selepas memandu kereta melintasi bahagian bawah Pelabuhan Darwin yang dihuni buaya.
Pasukan yang terdiri daripada puluhan jurutera dan penyelam berjaya menyelesaikan cabaran tersebut selepas membaiki semula Toyota Land Cruiser tahun 1978, dengan menukarkan motor elektrik yang kalis air untuk perjalanan selama 12.5 jam, kata pemimpin projek, Tom Lawrence.
Kira-kira 30 penyelam bergilir-gilir memandu di sepanjang dasar pelabuhan, menyelam hingga ke kedalaman 30 meter pada jarak lapan kilometer yang sedikit lebih panjang dari yang dirancang setelah kereta tersebut, yang dinamakan mudcrab, ‘tersasar dari laluan,’ kata Lawrence kepada AFP hari ini.
“Di Pelabuhan Darwin terdapat buaya yang terkenal besar dan jerung harimau, tetapi juga terdapat ubur-ubur kotak dan ubur-ubur irukandji,” katanya, menjelaskan beberapa bahaya yang dihadapi semasa pencapaian besar itu pada petang Sabtu.
“Sentiasa ada risiko tetapi tiada sesiapa yang bimbang tentang hal itu. Land Cruiser jingga besar dipandu di bawah air mungkin bukan tarikan kepada hidupan liar untuk berenang mendekatinya,” tambahnya.
Ia adalah perlintasan kereta bawah air yang pertama yang berjaya di Pelabuhan Darwin selepas percubaan sebelumnya pada tahun 1983 yang bergantung pada motor diesel lama dan snorkel gergasi berhenti kira-kira di tengah perjalanan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P11-B-Freepik_02082023.jpg)