Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 Nov – Untuk menghargai kejayaan murid-murid, beberapa buah sekolah di Daerah Tutong telah mengadakan majlis konvokesyen dan seterusnya majlis penyampaian hadiah pelajar terbaik sepanjang minggu ini.
Hari ini, Sekolah Rendah (SR) Tumpuan Telisai telah meraikan seramai 29 orang murid Tahun 6 pada majlis konvokesyen yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Pada tahun ini, seramai 17 orang murid Tahun 6 sekolah berkenaan telah memperolehi gred A hingga C dengan dua orang mencatatkan keputusan 5A dan seorang mendapat 4A 1B. Penyampaian sijil tamat pengajian kepada murid-murid Tahun 6 telah disempurnakan oleh Ketua Kluster 5, Dayang Nurasurah binti Haji Meluddin.
Sementara itu, di SR Penanjong, seramai 26 orang murid Tahun 6 dan 21 orang murid prasekolah turut diraikan pada Majlis Graduasi Prasekolah dan Pelajar Tahun 6, pagi hari ini. Sekolah berkenaan meraikan tujuh orang murid Tahun 6 yang mendapat 5A dan tiga orang murid mendapat 4A 1B.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru SR Penanjong, Haji Ahmadbi bin Haji Othman selaku tetamu kehormat majlis. Sekolah Nurul Falah pula telah mengadakan majlis konvokesyen bagi seramai 12 orang murid kindergarten 3 Banafsaji, kelmarin.


Majlis yang diadakan di Dewan Serambangun, Tutong itu telah dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong.
Selain meraikan murid-murid kindergarten, pelajar-pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang juga menerima penyampaian hadiah bagi pelajar terbaik dan banyak lagi.
Antara tujuan majlis diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada murid-murid yang berjaya dan seterusnya memberi semangat kepada murid-murid agar terus meningkatkan mutu pelajaran mereka nanti.