Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejayaan pelajar, guru dihargai

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 4 FEB – Seramai 46 orang pelajar dan 18 guru dari Sekolah Arab Belait (SAB) telah diraikan atas pencapaian akademik dan kokurikulum mereka sepanjang tahun persekolahan lalu dalam Majlis Anugerah Pelajar Terbaik tahunan sekolah itu, kelmarin.

    Diadakan di surau sekolah berkenaan, majlis telah dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku tetamu kehormat dan disambut oleh Pemangku Pengetua SAB, Pengiran Hajah Masniah @ Nur Amalina binti Pengiran Hussin.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pengiran Hajah Masniah @ Nur Amalina berkata, majlis itu bukan sahaja bertujuan untuk meraikan pencapaian pelajar dan guru sekolah berkenaan malah sebagai inspirasi dan insentif kepada pelajar lain untuk mengikut jejak mereka.

    “Alhamdulillah, pada 2023, SAB merupakan antara sekolah yang memperoleh 100 peratus gred A-D dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR),” kongsi beliau. Beliau kemudiannya menyenaraikan beberapa pencapaian yang dicapai oleh sekolah itu termasuk menjadi salah satu daripada 12 sekolah yang disenarai pendek bagi Kategori Sekolah Anugerah Wira Sisa Asia Tenggara 2023 (Tadika-Pendidikan Rendah) anjuran Sufficiency Economy Philosophy for Sustainability (SEAMEO SEPS) pada Disember tahun lepas. “Ini dicapai hasil daripada salah satu inisiatif hijau sekolah untuk memahami dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023,” tambah beliau.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah yang merangkumi Anugerah Pelajar Terbaik bagi setiap kelas dan mata pelajaran, serta Guru Terbaik bagi setiap mata pelajaran. Selain itu, dua anugerah khas turut disampaikan kepada Awang Khaizuran bin Rezuan dan Awang Muhammad Fadhli Danial bin Fari Surnaidi kerana masing-masing mendapat Anugerah Terbaik Pendidikan dan Kokurikulum.

    Kesemua anugerah dan hadiah telah disampaikan oleh Pemangku Pengetua dan tetamu kehormat Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh pelajar Sanah 5 dan 6 bertajuk Kalam Jama’ie.

    Yang Berhormat Awang Mohammad menyampaikan anugerah kepada salah seorang guru. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Salah seorang pelajar menerima anugerah daripada Pemangku Pengetua SAB. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda