Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejayaan pemuliharaan anak penyu tempayan

    MANAVGAT – Anak-anak penyu tempayan yang baru menetas dari telurnya memulakan cabaran pertama dalam hidup dengan merangkak di atas pasir menuju ke air pantai Mediterranean Turkiye yang diterangi cahaya bulan dengan bantuan sukarelawan pada masa-masa tertentu.

    Ia merupakan perjalanan yang sangat bahaya ke masa depan yang tidak diketahui bagi penyu-penyu itu dengan hanya satu daripada 1,000 anak penyu yang menetas akan terselamat hingga ke alam dewasa.

    Kira-kira 25 tahun kemudian, penyu-penyu betina akan kembali ke pantai untuk bertelur.

    Meskipun berhadapan ancaman daripada manusia dan pemangsa seperti burung, ketam dan semut, langkah-langkah perlindungan membuahkan hasil di pantai selatan Turkiye.

    Di Manavgat, sebuah tempat tarikan pelancong terletak di kaki gunung dengan pasir-pasir keemasan dan air terjun yang indah, jumlah sarang penyu telah meningkat dua kali ganda dari tahun lepas kepada 700 buah sarang.

    Cabaran pertama anak penyu tempayan dalam hidup ialah merangkak di atas pasir menuju ke air. – AFP
    Gambar AFP
    Seorang sukarelawan membantu anak penyu untuk keluar dari telurnya. – AFP
    Sukarelawan membuat penghadang pada sarang dengan kayu untuk melindungi telur penyu. – AFP
    Sekumpulan sukarelawan berjaga sepanjang masa di sepanjang pantai. – AFP

    Sekumpulan sukarelawan berjaga setiap masa di sepanjang pantai sepanjang 10 kilometer, yang terletak di timur ibu kota pelancongan tempatan Antalya.

    Ia merupakan pusat pembiakan utama bagi penyu tempayan yang terancam secara global dan juga dikenali sebagai caretta caretta yang berada dalam senarai merah spesies terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

    “Anggaran purata kami tahun ini adalah sekitar 60,000 telur dijangka menetas; 30,000 daripadanya akan menjadi anak penyu; hanya 30 daripadanya akan kembali beberapa tahun kemudian untuk membiak,” kata Seher Akyol, presiden dan pengasas pusat pemuliharaan marin DEKAFOK, kepada AFP.

    Pantai selatan Turkiye mempunyai 21 kawasan pembiakan rasmi, lapan daripadanya terletak di Antalya.

    Langkah-langkah perlindungan telah dilaksanakan seperti mengehadkan penggunaan cahaya dan kelajuan kapal laut.

    Banyak pantai diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan dan dilarang masuk dari jam 8 malam hingga 8 pagi.

    Manavgat, bagaimanapun, tidak termasuk dalam kawasan terlindung, oleh itu para sukarelawan telah mengambil alih tugas untuk melindungi sarang penyu di situ.

    Sukarelawan Akyol, termasuk pelajar muda dari seluruh Turkiye dan luar negara, menandai sarang-sarang itu, membingkainya dengan kayu dan memastikan telur-telur tersebut dilindungi daripada pengunjung yang datang untuk berjemur.

    Pada waktu malam, mereka meronda di pantai, menggali sarang dengan tangan kosong dan memakai sarung tangan putih, membantu anak-anak penyu keluar dari telurnya dan merangkak ke laut.

    Pihak berkuasa tempatan turut menyokong inisiatif-inisiatif sukarelawan tersebut.

    Datuk Bandar Manavgat, Niyazi Nefi Kara, telah memasang lampu-lampu merah di bahu-bahu jalan di sepanjang pantai. Manakala, papan-papan tanda bertulis ‘Hati-hati! Kawasan Sarang Caretta’ dipasang di pantai.

    Di bawah undang-undang alam sekitar, sesiapa yang mencederakan penyu dan merosakkan sarangnya akan dikenakan denda 387,141 lira (AS$11,700).

    Kara berkata pejabatnya mendapatkan nasihat daripada ‘saintis dan pencinta alam sekitar’ dalam usaha untuk melindungi penyu.

    “Selepas ini, kita perlu belajar bagaimana untuk hidup selaras dengan alam semula jadi,” katanya. Akyol turut menambah bahawa ‘manusia dan caretta caretta boleh hidup bersama’.

    Songul Sert, 33, yang sedang berkelah bersama keluarganya di sekeliling sebuah meja kayu berdekatan pantai itu, berkata “Kami berusaha sebaik mungkin agar kami tidak mengganggu tempat tinggal mereka” dengan bantuan papan-papan tanda itu.

    Seorang lagi penduduk tempatan, Hasan Gule, berkata sebelum ini ketiadaan papan tanda bermakna bahawa ‘tiada siapa yang tahu di mana ia bertelur, oleh itu sesiapa pun boleh berjalan di atas sarangnya’.

    Namun, pasukan AFP melihat sesetengah hotel di sepanjang pantai masih menggunakan lampu-lampu berwarna putih terang yang membangkitkan kemarahan para pencinta alam sekitar.

    Penyu tempayan, yang jumlah keseluruhannya tidak diketahui, boleh hidup sehingga 80 tahun. Beratnya antara 90 hingga 180 kilogram dan boleh mencecah 1.2 meter panjang.

    Jumlah kecil daripada penyu yang menetas yang kembali ke pantai untuk bertelur adalah disebabkan “ia terancam dan perlu dilindungi,” Profesor Mehmet Cengiz Deval dari fakulti perikanan Universiti Akdeniz memberitahu AFP.

    Penyu tempayan kebanyakannya ditemui di kawasan-kawasan subtropika dan beriklim panas di Lautan Atlantik, Pasifik dan India serta di Laut Mediterranean.

    Menurut IUCN, penyu tempayan Mediterranean dianggap sebagai ‘kurang dibimbangkan’, meskipun spesies itu masih dianggap terdedah secara global.

    Perubahan iklim juga merupakan faktor yang mengancam spesies tersebut.

    Jantina anak penyu ditentukan oleh suhu pasir – suhu yang lebih sejuk menghasilkan penyu jantan dan yang lebih panas menghasilkan betina.

    Suhu tinggi dari Julai dan seterusnya bermakna “kebanyakan anak penyu adalah betina,” kata Deval.

    “Jika trend ini berterusan, dalam 30 hingga 40 tahun, penyu betina akan menjadi
    majoriti dan tidak akan ada pasangan jantan untuk ia membiak. Ini adalah ancaman terbesar.”

    Akyol, yang mengimpikan untuk membina sebuah pusat pemulihan untuk merawat penyu yang cedera, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya setiap kali dia menghantarnya ke air.

    “Saya tidak boleh melupakan pandangan terakhirnya sebelum masuk ke dalam air,” katanya. “Ia seolah-olah ia mengucapkan terima kasih.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda