Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kejayaan pencetus kekuatan negara’

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Para pelajar baharu Universiti Teknologi Brunei (UTB) digalakkan mengharungi cabaran pengajian tinggi sebagai batu loncatan kepada pertumbuhan akademik dan peribadi mereka.

    Perkara itu dinyatakan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya di Majlis Ucapan Naib Canselor bagi mengalu-alukan pelajar-pelajar baharu bagi tahun akademik 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Serba guna, Fasa 3, UTB, hari ini.

    Beliau turut mengetengahkan pencapaian ranking antarabangsa terkini UTB dan mengesahkan semula misi universiti berkenaan untuk membentuk graduan siaga masa depan menerusi kecemerlangan akademik, inovasi dan penglibatan masyarakat.

    “Kejayaan bukannya tentang mengelakkan kegagalan; ia mengenai usaha untuk meneruskannya,” tambah Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    “Awda tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Sentiasa ingat bahawa kejayaan awda menyumbang kepada kekuatan negara kita.”

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah berucap semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para penuntut baharu melafazkan ikrar semasa Majlis Ucapan Naib Canselor yang berlangsung di UTB. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para penuntut baharu UTB yang hadir ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau seterusnya menggalakkan para pelajar memanfaatkan sepenuhnya pengalaman universiti mereka dengan menetapkan matlamat yang jelas, mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan kampus serta memupuk nilai-nilai patriotisme, perpaduan dan khidmat kepada masyarakat.

    “Universiti ini bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu, tetapi tempat di mana semangat kekitaan mesti berkembang.

    Cinta kepada negara kita lebih daripada mengibarkan bendera, ia dizahirkan melalui perkhidmatan, penghormatan terhadap kepelbagaian dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada warisan budaya dan nilai negara kita,” tegas Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Pada majlis berkenaan, kira-kira 641 pelajar baharu telah melafazkan ikrar di hadapan pegawai-pegawai utama, pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan.

    Ucapan Naib Canselor berkenaan menandakan bermulanya Minggu Orientasi UTB 2025 yang dijadualkan bermula 14 hingga 19 Julai, dengan acara dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB (MPPUTB).

    Program selama seminggu berkenaan mengetengahkan aktiviti yang direka untuk membantu pelajar-pelajar baharu menyesuaikan diri kepada kehidupan universiti secara akademik dan sosial.

    Sepanjang minggu orientasi, para pelajar akan menyertai acara termasuk sesi taklimat oleh pejabat-pejabat pentadbiran dan akademik UTB, berjumpa dengan wakil-wakil daripada sekolah dan fakulti masing-masing, pelbagai ceramah kesedaran, keagamaan, kaunseling dan motivasi oleh penceramah undangan, lawatan kampus serta aktiviti kesukarelawanan.

    Di samping itu, petak pameran aktiviti kokurikulum (CCA) juga disediakan di kampus sebelum Minggu Orientasi untuk memperkenalkan para pelajar kepada pelbagai aktiviti, organisasi dan kelab yang terdapat di UTB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda