Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejayaan pendidikan anak-anak bermula di rumah

    KUALA LUMPUR – Kejayaan anak-anak di sekolah tidak hanya bergantung kepada persediaan akademik, tetapi turut melibatkan kemahiran hidup yang dipupuk di rumah sejak awal lagi.

    Vanessa Tan, 42, seorang ibu kepada dua anak – Megan Oh, 12, dan Tristan Oh, 9 – berkongsi pandangannya bahawa persepsi beliau terhadap persediaan ke sekolah telah berubah dari tahun ke tahun.

    Seperti kebanyakan ibu bapa yang ingin memberikan permulaan terbaik buat anak-anak mereka, Vanessa telah menghantar anak perempuannya ke pusat penjagaan kanak-kanak ketika berusia tiga tahun.

    “Dia menangis setiap hari apabila kami menghantarnya ke sana dan keadaan ini berlarutan selama sebulan. Mungkin dia belum bersedia untuk ke sekolah pada waktu itu, tetapi saya tidak mengetahuinya,” katanya.

    Menurut Vanessa, kini kedua-dua anaknya sudah bersekolah dan beliau mula memahami bahawa kebolehan membaca, menulis dan mengira adalah kurang penting berbanding kemahiran hidup yang perlu dimiliki oleh seorang kanak-kanak apabila memasuki alam persekolahan.

    Pendekatan holistik diperlukan dalam persediaan ke sekolah. – Freepik
    Gambar Freepik

    “Ini termasuklah kemahiran berkomunikasi dengan guru dan rakan sebaya, keupayaan untuk menerima arahan tanpa membuat perangai, berdikari dan menyuarakan keperluan mereka,” katanya.

    Sebagai seorang usahawan, Vanessa turut menekankan bahawa ibu bapa juga perlu bersedia menghadapi perubahan ini.

    “Bukan hanya anak-anak yang perlu menyesuaikan diri, ibu bapa juga perlu bersedia dengan rutin dan jadual baharu. Mereka perlu stabil dari segi emosi dan mental kerana kebimbangan ibu bapa boleh mempengaruhi anak-anak, menjadikan peralihan ini lebih sukar,” jelasnya.

    Vanessa turut menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dalam memilih sekolah untuk anak-anak.

    “Kadang-kadang, ibu bapa memilih sekolah yang jauh dari rumah kerana reputasinya yang lebih baik. Namun, jika perjalanan harian memenatkan, ia boleh memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga.

    “Masa yang dihabiskan di jalan raya mungkin menyebabkan awda kehilangan masa berkualiti bersama anak-anak, sekali gus menjejaskan peluang untuk memupuk dan membantu mereka memahami aspek-aspek persekolahan,” tambahnya.

    MENCAPAI KESEIMBANGAN

    Pensyarah Kewartawanan, Profesor Madya Dr Jeyasushma Veeriah, berpendapat bahawa persediaan ke sekolah memerlukan keseimbangan antara kemahiran akademik seperti literasi dan numerasi, dengan kebolehan kanak-kanak untuk mengawal emosi, mematuhi arahan dan berkomunikasi dengan berkesan.

    “Walaupun kebolehan membaca dan mengira membentuk asas pembelajaran akademik, kawalan emosi dan komunikasi sama penting kerana ia membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah. Kedua-dua set kemahiran ini perlu dipupuk serentak,” katanya.

    Sebagai seorang ibu kepada dua remaja berusia 19 dan 15 tahun, Dr Jeyasushma mengakui pandangannya terhadap persediaan ke sekolah juga telah berubah seiring dengan usia anak-anaknya.

    “Ketika anak-anak saya masih kecil, saya lebih fokus kepada persediaan akademik seperti memastikan mereka mengenali huruf, nombor dan bentuk.

    “Namun, apabila mereka semakin membesar dan menghadapi cabaran seperti tekanan rakan sebaya, pengurusan emosi dan membina hubungan, saya sedar bahawa kawalan emosi dan kemahiran komunikasi adalah sangat penting untuk menghadapi cabaran hidup,” jelasnya.

    Sebagai persediaan, beliau telah memberikan asas yang kukuh kepada anak-anaknya, termasuk akademik, kemahiran komunikasi dan persiapan menghadapi cabaran sosial.

    “Namun, jika ada yang boleh saya ubah, saya mungkin akan memulakan perbincangan tentang pengaruh rakan sebaya pada usia yang lebih awal,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Xiamen Malaysia.

    Dalam pengalaman kerjayanya, beliau sering berjumpa dengan pelajar yang sukar menguasai kemahiran asas seperti mematuhi arahan, pengurusan masa dan komunikasi idea.

    “Saya percaya cabaran ini berpunca daripada pengalaman awal kanak-kanak, sama ada kemahiran ini tidak diberi penekanan, peluang untuk mengembangkannya terlepas, atau mereka tidak terdedah kepada bahasa yang digunakan,” tambahnya.

    Nasihat beliau kepada ibu bapa muda adalah untuk mengamalkan keseimbangan.

    “Walaupun akademik penting, jangan abaikan nilai permainan, komunikasi dan pembangunan emosi. Penting bagi ibu bapa untuk membantu anak-anak membina keyakinan dalam menyuarakan pendapat, mengikuti rutin, dan membentuk hubungan yang sihat,” katanya.

    “Matlamatnya bukan sekadar mempersiapkan mereka untuk pendidikan, tetapi juga melengkapkan mereka dengan kemahiran yang boleh digunakan sepanjang hayat,” katanya lagi. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda